Tuesday, May 4, 2010

Pemimpin Umno/BN cuai kedaulatan negara

M Faqih - Harakahdaily

KOTA BHARU, 3 Mei: Pemimpin Umno dan Barisan Nasional (BN) dianggap tidak prihatin terhadap kedaulatan negara apabila dengan mudah menyerah dua blok pengeluaran minyak di Laut Cina Selatan kepada Brunei.

Blok terbabit iaitu Blok L dan Blok M dianggap bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mempunyai nilai minyak berjumlah AS$100 billion (RM320 bilion).

Ketua Penerangan Dewan Pemuda PAS Kelantan, Ahmad Fadhli Shaari berkata, kegagalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak membuat penjelasan yang boleh memuaskan hati rakyat mengesahkan kerajaan BN tidak prihatin terhadap kedaulatan negara.

“Dewan Pemuda PAS Kelantan menuntut satu siasatan dibuat bagi menyiasat ketelusan rundingan yang merugikan Malaysia tersebut,” katanya dalam satu kenyataan media di sini.

Baru-baru ini Dr Mahathir Mohammad mendedahkan kepincangan tersebut dalam blognya dengan merujuk laporan The Edge Financial Daily dan Brunei Times.

Bagaimanapun Perdana Menteri menganggap persempadanan semula darat dan laut pada Mac 2009 sebagai formula penyelesaian yang menguntungkan kedua-dua pihak (Malaysia dan Brunei).

Isu tuntutan Brunei terhadap Limbang yang diapit daerah Brunei Muara dan Temburong dibangkitkan negara terbabit sejak pembentukan Malaysia pada 1963.

Ahmad Fadhli berkata, Pemuda PAS Kelantan melahirkan rasa kesal yang teramat sangat ekoran kecuaian kerajaan Malaysia dalam rundingan diplomatik tersebut sehingga mengakibatkan jumlah kerugian yang begitu besar terpaksa ditanggung rakyat Malaysia.

“Persoalan yang timbul mengapakah pemimpin negara boleh melakukan rundingan yang secara jelas merugikan Malaysia.

“Jika pemimpin negara boleh menafikan hak rakyat Kelantan dalam isu tuntutan royalti minyak sebanyak RM2 billion, nampaknya mereka dengan senang hati melepaskan RM320 billion kepada pihak lain,” katanya.

Oleh itu menurutnya, Pemuda PAS Kelantan menuntut penjelasan Najib memandangkan ketika mesyuarat kabinet pada 11 Februari 2009 beliau merupakan Timbalan Perdana Menteri.

No comments: