Loading...

Tuesday, May 11, 2010

Rela atau tidak? Keterangan Saiful canggah, kata Karpal


KUALA LUMPUR, 11 Mei — Pasukan peguam Datuk Seri Anwar Ibrahim mendakwa kenyataan Saiful Bukhari Azlan, pengadu kes liwat, kepada polis bercanggah dengan tuduhan sebenar dikenakan terhadap ketua pembangkang itu.

Sehubungan itu, peguam utama Anwar, Karpal Singh memohon mahkamah membekalkan pasukan pembela dengan keseluruhan keterangan yang dibuat Saiful kepada polis.

Karpal berhujah bahawa pasukan pembela merasakan adanya ‘percanggahan’ antara keterangan yang diberikan kepada polis dan juga tuduhan sebenar terhadap Ketua Umum Pakatan Rakyat (PR) itu.

Sehubungan itu, perbicaraan kes liwat Anwar ini ditangguh sehingga esok bagi membolehkan Hakim Mahkamah Tinggi di sini Datuk Mohamad Zabidin Mohd Diah membuat keputusan mengenai permohonan pihak pembelaan untuk mendapatkan keterangan Saiful.

Peguam bela utama Karpal Singh memberitahu mahkamah bahawa pihak pembelaan memerlukan keterangan itu kerana terdapat percanggahan antara keterangan berkenaan dan pertuduhan meliwat yang dikenakan terhadap Anwar.

Karpal berkata bahawa Saiful, dalam keterangan kepada polis, mendakwa kejadian liwat itu berlaku tanpa kerelaan sedangkan pihak pendakwaan mengenakan pertuduhan mengikut Seksyen 377B Kanun Keseksaan iaitu persetubuhan dengan kerelaan.

Katanya ini adalah kes pertama di negara ini melibatkan percanggahan besar antara pertuduhan dan keterangan saksi kepada polis serta keterangan oleh saksi di mahkamah.

Peguam Cara Negara II Datuk Mohamed Yusof Zainal Abidin, yang mengetuai pasukan pendakwaan, menjawab bahawa terpulang kepada Peguam Negara selaku pendakwa untuk menetapkan pertuduhan.

Anwar yang merupakan ketua pembangkang dan penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), dituduh meliwat Mohd Saiful, 25, di Unit 11-5-1 Kondominium Desa

Damansara, Jalan Setiakasih, Bukit Damansara, antara 3.01 petang dan 4.30 petang pada 26 Jun 2008.

Pertuduhan mengikut Seksyen 377B Kanun Keseksaan itu membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan jika disabit kesalahan.

Dalam sesi soal balas semalam Saiful yang mengadu diliwat oleh Anwar memberitahu Mahkamah Tinggi, laporan polis yang dibuatnya telah menyatakan beliau diperlakukan demikian tanpa kerelaan.

Kemudiannya Saiful diminta oleh Karpal membaca laporan polis yang dibuatnya.

Laporan itu antaranya berbunyi : “Saya Mohd Saiful ingin melaporkan saya diliwat oleh majikan saya. Kejadian ini tanpa kerelaan saya...Oleh itu laporan ini dibuat dengan tujuan untuk mendapat keadilan dan pembelaan atas diri saya bagi tujuan keselamatan jika perkara ini tersebar luas.”


Sumber: Malaysian Insider

No comments: