KUALA LUMPUR 6 Mei - Kerajaan mengambil sikap membisu seribu bahasa berhubung skandal pengkhianatan Umno-Barisan Nasional menyerahkan dua padang minyak milik Malaysia kepada Brunei kerana tidak mahu menjejaskan peluangnya memenangi pilihan raya kecil Bandar Sibu 16 Mei depan.
Timbalan Presiden KEADILAN, Senator Dr Syed Husin Ali ketakutan ini telah menyebabkan Speaker Dewan Negara menolak usul tergempar beliau untuk membahaskan isu penyerahan Blok L dan M yang oleh mantan Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi sejurus sebelum beliau melepaskan jawatan pada awal 2009.
"Saya lihat perkara ini berkaitan dengan pilihan raya kecil Sibu kerana mereka tidak mahu pengundi di sana mendapat maklumat yang tepat berkenaan dengan perkara tersebut. Kerajaan cuba sembunyikan sesuatu kebenaran dengan cara menggunakan media yang mereka kawal dan tidak mahu membahaskan perkara tersebut dalam badan yang berwibawa seperti Dewan Negara ini," kata Dr Syed Husin.
Beliau menyerahkan usul tersebut pada 3 Mei lalu tetapi telah ditolak atas alasan ia tidak perlu dibincangkan lagi.
"Saya telah mengemukakan usul bagi membincangkan hal penyerahan dua blok padang minyak iaitu L dan M pada 3 Mei yang lepas tetapi pagi ini saya menerima surat dari Dewan Negara yang mengatakan usul tersebut tidak perlu dibincangkan lagi kerana ia bukan perkara yang mustahak dan perkara ini telah dibincangkan di dalam media.
"Saya berasa amat kesal dan bimbang dengan apa yang terjadi. Perkara ini melibatkan isu Perlembagaan dimana perubahan sempadan Negara telah dilakukan tanpa mengambil kira Perkara 2 Perlembagaan.
"Ini adalah satu isu yang amat serius yang melibatkan soal maruah dan kedaulatan Negara. Parlimen telah diketepikan dalam keputusan penyerahan tersebut, dan ini merupakan satu perlanggaran Perlembagaan yang amat serius.
"Apa yang dibincangkan dalam media banyak yang bercanggah dan tidak tepat antara Kementerian Luar dengan Perdana Menteri dan juga Petronas dengan Kerajaan. Banyak perkara yang tidak jelas bagi kita untuk mendapat jawapan yang tepat. Sekarang sidang Dewan Negara sedang berlangsung maka perkara ini paling tepat diberikan penjelasan di dalam dewan bukan melalui media.
"Bagi saya perkara ini amat mustahak dan perlu dibincangkan segera kerana ia melibatkan masalah kedaulatan Negara. Tindakan kerajaan yang cuba mengelak untuk memberi penjelasan adalah umpama ingin menutup suatu kebenaran yang rakyat perlu tahu," jelas beliau kepada Suara Keadilan.
Dr Syed Husin berharap Perdana Menteri dapat memberikan jawapan dalam bentuk bertulis agar segala persoalan tersebut dapat diketahui.
"Dalam keadaan ini saya berpendapat Mahkamah Persekutuan harus campur tangan untuk memperbetulkan kesalahan yang telah berlaku kerana mahkamah adalah penjaga Perlembagaan. Jika Parlimen telah melepas tangan, maka Mahkamah wajib untuk meneliti perlanggaranPerlembagaan ini. Jika tidak Malaysia akan berdepan dengan krisis Perlembagaan dan demokrasi yang amat membimbangkan.
"Perdana Menteri perlu mengambil sikap yang serius atas persoalan yang timbul mengenai perairan negara itu jangan hanya membuat penjelasan kepada media sahaja, tempat yang paling sesuai beri penjelasan adalah pada sidang Dewan Negara," tegas Dr Syed Husin.
Sumber: Suarakeadilan
No comments:
Post a Comment