Monday, May 10, 2010

Koperal polis didakwa tembak Aminulrasyid

TERKINI

SHAH ALAM, 10 Mei — Anggota polis Koperal Jenain Subi dikenakan tuduhan tengah hari ini berhubung kejadian menembak remaja Aminulrasyid Amzah di sini dua minggu lalu, yang mencetuskan kontroversi membabitkan rakyat pelbagai lapisan.

Dia didakwa di Mahkamah Sesyen Shah Alam tengah hari tadi.

Koperal Jenain Subi, 48, mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan di bawah Seksyen 304 (a) Kanun Keseksaan kerana menyebabkan kematian.

Jenain yang didakwa di bawah Seksyen 304 Kanun Keseksaan dan jika disabitkan kesalahan boleh dihukum penjara 30 tahun.

Hakim M. Gunalan membenarkan dia diikat jamin RM10,000 dan kes akan disebut semula 10 Jun ini.

Aminulrasyid mati ditembak selepas dikejar polis kira-kira enam kilometer awal pagi 26 April lalu dekat rumahnya di Seksyen 11 di sini.

Dia sebelum ini didakwa mengundurkan kenderaannya dan cuba merempuh kereta polis.

Bagaimanapun rakannya Azamuddin Omar, 15, yang terselamat menafikan perkara itu.

Jemain yang berseluar jeans biru muda dan memakai t-shirt berwarna kuning dan oren dibawa ke Kompleks Mahkamah di sini pada pukul 11.30 pagi.

Dia didakwa empat hari selepas polis menghantar semula kertas siasatan berhubung kes kematian Aminulrasyid ke pejabat Peguam Negara.

Dalam kejadian pada 2 pagi itu, Aminulrasyid mati terkena tembakan yang dilepaskan polis yang mengejar kereta yang dipandu remaja itu sebelum terbabas di Jalan 11/2G di sini kira-kira 100 meter dari rumahnya.

Timbalan Pendakwa Raya Mohd Dusuki Mokhtar mencadangkan supaya Jenain dikenakan ikat jamin RM35,000 dengan seorang penjamin.

Peguam bela Salim Bashir pula memohon supaya ikat jamin ditetapkan pada kadar yang berpatutan kerana Jenain mempunyai empat orang anak yang masih kecil.

Katanya Jenain yang masih lagi seorang anggota polis tidak berpeluang untuk melarikan diri, dan mahkamah juga perlu mengambil kira bahawa sekiranya beliau gagal membayar jaminan itu beliau akan ditahan reman sehingga perbicaraan selesai.

Salim juga memohon kepada mahkamah supaya tidak terdorong dengan pandangan-pandangan masyarakat berhubung kes itu, dan menurutnya anak guamnya itu hanya mampu membayar jaminan antara RM6,000 dan RM7,000 sahaja.

Jenain yang menyertai pasukan polis pada 1985 sebelum ini pernah bertugas di mahkamah, dan semasa kejadian, beliau merupakan seorang anggota polis peronda di Ibu Pejabat Polis Daerah Shah Alam.


Sumber: Malaysian Insider

No comments: