Sunday, March 3, 2013

Kes Lahad Datu :Rakyat Mahukan Gambaran Jelas





KUCHING: Rakyat Malaysia disaran agar mendapatkan maklumat terkini mengenai insiden pencerobohan di Lahad Datu, Sabah oleh puak pemisah dari Filipina melalui media arus perdana dan bukannya media alternatif seperti blog dan internet.
Panglima 1 Divisyen, Mejar Jen Datuk Mohd Zaki Haji Mokhtar berkata tindakan sedemikian adalah penting untuk mengelakkan orang ramai terdedah  kepada kenyataan berlebihan dari penulis blog dan sebagainya.
“Jika kenyataan berlebihan, persepsi orang awam boleh terganggu dan menganggap (pasukan) pertahanan negara tidak menjalankan tugas dengan betul,” katanya kepada pemberita selepas perasmian Ulang Tahun Tentera Darat (TD) Ke-80 di Padang Kawad Kem Penrissen, disini.
Katanya, maklumat boleh ditokok tambah oleh mana-mana pihak di laman web, yang tidak boleh dikawal.
“Kita tidak mahu rakyat tertipu dan menganggap situasi kini teruk sedangkan banyak usaha telah dilakukan,” ujarnya.
Pada 13 Februari lalu, kira-kira 100 lelaki bersenjata dikepung oleh pasukan keselamatan kerana dipercayai dari serpihan puak pemberontak pemisah di selatan Filipina.
“Insiden tersebut mengancam untuk membangkitkan ketegangan antara dua negara jiran di Asia Tenggara yang mana hubungan antara mereka sekali-sekala menjadi genting oleh masalah keselamatan dan penghijrahan melalui sempadan laut,” jelasnya.
Tambah beliau, pihaknya mengesyaki mereka adalah puak yang tidak berpuas hati dengan perjanjian damai baru-baru ini di Filipina dengan kumpulan pemberontak utama Islam di selatan pulau Mindanao.
“Perjanjian damai kerajaan Filipina dengan pemberontak Islam itu ditandatangani pada lewat tahun lalu untuk menamatkan konflik selama 40 tahun di selatan negara terbabit, tetapi sesetengah puak menyuarakan ketidakpuasan hati (bangkangan).
Sejak itu, ada daripada mereka yang termasuk pengikut puak serpihan kumpulan Misuari memutus untuk mencetuskan beberapa masalah dan ketegangan di Sabah,” katanya.
Dalam respons yang berbeza, Presiden Filipina, Benigno Aquino juga telah memberi amaran kepada Sultan Sulu, Sultan Jamalul Kiram III sebelum ini bahawa beliau akan berdepan tindakan undang-undang sekiranya tidak menamatkan pencerobohan itu di Lahad Datu.
Aquino berkata amaran dikeluarkan berikutan tindak-tanduk ahli kumpulan puak berkenaan yang mengaku diri adalah Askar Diraja Kesultanan Sulu.
“Beliau (Sultan Jamalul) diarah untuk memanggil pulang 180 pengikutnya itu supaya meninggalkan sebuah perkampungan nelayan dekat Lahad Datu yang diceroboh masuk sejak Februari lalu. Sekiranya tidak memilih untuk bekerjasama, tindakan undang-undang akan digunakan untuk mencapai keadilan bagi semua,” kata Aquino.

fmt

No comments: