Tuesday, March 19, 2013

Skandal NFC :Shahrizat Mempersoal Mengapa Dia Harus Minta Maaf Kepada Rakyat




KUALA LUMPUR, 18 Mac — Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil di Mahkamah Tinggi hari ini mempersoalkan mengapa beliau perlu meminta maaf ke atas rakyat Malaysia mengenai skandal Pusat Fidlot Kebangsaan (NFC).
Peguam Rafizi Ramli, Ranjit Singh berkata, pengarah strategi PKR dalam kenyataan media pada 28 November 2011 menyeru bekas menteri Kabinet itu memohon maaf kepada rakyat kerana dakwaan menyalahgunakan wang rakyat ke atas projek penternakan lembu yang mencetuskan kemarahan orang ramai.
“Untuk apa saya perlu minta maaf kepada rakyat Malaysia?” kata Shahrizat di Mahkamah Tinggi hari ini.
“Adakah anda bertanya kepada seorang isteri apa yang suaminya buat dengan membeli kondo? Adakah anda bertanya kepada seorang isteri untuk menerangkan apa suaminya buat dalam kondo atau beberapa buah kondo?” katanya dengan meluahkan perasaan marah.
Shahrizat juga tidak bersetuju dengan kenyataan Rafizi apabila beliau menimbulkan persoalan sama ada wang rakyat digunakan selepas National Feedlot Corporation (NFCorp) meminjam RM81 juta kepada National Meat and Livestock Corporation Sdn Bhd (NMLC) untuk membeli dua buah unit kondominium mewah di Bangsar.
“Persoalan itu tidak timbul sehingga klien anda cuba untuk memutarbelit kenyataan kepada seluruh negara,” kata Shahrizat.
“Ini adalah fitnah dan tuduhan semata-mata,” katanya lagi.
Shahrizat turut berkata beliau tidak tahu apakah NFCorp meminjam RM81 juta itu datang dari dana RM250 juta pinjaman dari kerajaan kepada NFCorp.
Ketua Wanita Umno itu bagaimanapun mengakui NFCorp menggunakan dana tersebut untuk membeli unit kondominium itu bukanlah dari tujuan asal pinjaman dari kerajaan.
“Wang tersebut adalah program untuk NFC, tetapi rumah penyembelihan masih belum dibina, jadi sebab itu mereka melabur dalam sektor hartanah. Sebab itu ia bukan tujuan dari pinjaman,” kata Shahrizat.
Beliau mengatakan beliau menjadi satu-satunya sasaran Rafizi dan setiausaha agung PKR Saifuddin Nasution Ismail dalam kenyataan bersama pada 10 November 2011, dengan menamakan beliau, dan beberapa individu - termasuk Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Noh Omar, dan bekas menteri tersebut yang kini Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin - sebagai mereka yang terlibat dalam isu NFC.
“Mereka memang menyerang saya, saya satu-satunya sasaran,” kata Shahrizat.
Projek NFC dianugerahkan kepada NFCorp, yang dimiliki oleh suami Shahrizat Datuk Seri Mohamad Salleh Ismail, pada 2006 ketika Shahrizat masih lagi dalam Kabinet.
Ranjit berkata timbalan ketua Kelab Penyokong Kerajaan Barisan Nasional Datuk Bung Mokhtar Radin yang mahu Shahrizat meletak jawatan sebagai menteri wanita, keluarga dan pembangunan masyarakat selepas skandal NFC terbongkar.
“Adakah anda telah menyaman beliau? Tidakkah anda rasa anda difitnah?” tanya Ranjit.
“Sebab utama saya menyaman (Rafizi), kerana apa yang dilakukan oleh klien anda, orang ada sangkaan buruk ke atas saya. Orang dalam parti saya sendiri pun ada tanggapan buruk ke atas saya,” kata Shahrizat.
“Klien anda menyuruh saya memohon maaf kepada rakyat Malaysia terhadap sesuatu yang tidak dilakukan oleh saya dan keluarga saya,” katanya lagi.
Jawatan Senator Shahrizat tidak diperbaharui April lalu dan portfolionya diambil alih oleh Najib.
Shahrizat memfailkan saman RM100 juta ke atas Rafizi dan ketua wanita PKR Zuraida Kamaruddin kerana isu NFC pada Januari tahun lalu.
Hakim Vazeer Alam Mydin menangguhkan perbicaraan pada hari esok.

themalaysianinsider

No comments: