Loading...

Thursday, March 7, 2013

Selangor Merupakan Negeri Pelaburan Utama Negara



SHAH ALAM 6 MAC : Selangor mencatatkan jumlah pelaburan sebanyak RM 49.75 bilion untuk sepanjang 2008 – 2012 dengan berjaya mengekalkan prestasi negeri itu sebagai destinasi pelaburan utama negara ini.
Exco Pelaburan, Perindustrian dan Perdagangan, Teresa Kok berkata, sepanjang 2012, Selangor mencatatkan pelaburan sebanyak RM 11.7 bilion dengan 252 projek perkilangan diluluskan.
Jumlah itu 28.5 peratus daripada jumlah keseluruhan nilai pelaburan negara. Ia juga adalah 31 peratus daripada keseluruhan projek yang diluluskan di Malaysia.
Pada 2012 juga, Selangor mencatatkan pertumbuhan pekerjaan yang terbesar di Malaysia iaitu sebanyak 22,719 peluang pekerjaan atau 30 peratus daripada jumlah keseluruhan negara.
“Negeri Selangor mencatatkan prestasi yang amat cemerlang di mana Selangor masih mendahului negeri-negeri lain dari segi bilangan projek yang diluluskan dan nilai pelaburan yang diterima,” kata Teresa.
Ujar Teresa, dalam tempoh 2008 – 2012 juga, Selangor mencatatkan jumlah kelulusan projek perkilangan tertinggi iaitu sebanyak 1,420 projek dengan 123,067 potensi peluang pekerjaan yang berjaya diwujudkan.
“Dari jumlah pelaburan yang diluluskan, sebanyak RM 7.3 bilion (62 peratus) adalah daripda pelaburan tempatan dan sebanyak RM 4.4 bilion (38 peratus) daripada pelaburan asing,” katanya dalam sidang media di pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri.
Sebanyak 156 projek merupakan projek baru dengan nilai pelaburan berjumlah RM 8.1 bilion dan sebanyak 96 projek merupakan projek pembesaran dengan nilai pelaburan berjumlah RM3.5 bilion.
Dari segi daerah, Petaling mencatat pelaburan tertinggi sebanyak RM4.3 bilion dengan 97 projek. Ini diikuti Hulu Langat sebanyak RM2.2 bilion dengan 6 projek dan Daerah Klang dengan nilai pelaburan RM1.7 bilion dengan 58 projek.
selangorku

No comments: