KUALA LUMPUR, 13 Mac — Tun Musa Hitam mengatakan Malaysia tidak akan bankrap jika Pakatan Rakyat (PR) mengambil alih kepimpinan negara sekiranya berjaya mengalahkan Barisan Nasional (BN) dalam pilihan raya umum ke 13 akan datang.
Bekas timbalan perdana menteri itu berkata demikian ketika mengulas dakwaan negara akan bankrap jika PR mentadbir negara.
“Itu kenyataan politik. Bagi pendapat saya, tidak. Malah, saya telah ulas perkara ini secara terbuka, termasuk kepada pihak bank dan orang luar.
“Ini adalah pendapat dan pendirian peribadi saya,” kata Musa dipetik dari Sinar Harian Online.
Musa juga mengatakan jika konsep demokrasi diterima oleh semua pihak, mereka tidak sepatutnya mengatakan pihak lain akan membuat negara bankrap.
Menurut beliau lagi, jika pembangkang memerintah, mereka tidak akan membuat pelabur dari luar negara lari.
“Mereka tidak akan buat sedemikian dan membuat ekonomi bankrap,” tambah beliau lagi.
Tambah bekas timbalan perdana menteri itu lagi, PR perlu menunjukkan pemerintahan baik untuk kekal sebagai pilihan rakyat.
“Ini harapan mereka, itu sebab mereka masuk pilihan raya. Mereka akan kata, kami yang terbaik untuk berkhidmat kepada rakyat,” katanya.
PKR, PAS dan DAP menggemparkan BN dalam Pilihan Raya 2008 apabila menafikan majoriti tradisi dua pertiga gabungan pemerintah itu di parlimen.
Gabungan tiga parti itu memenangi 82 kerusi dan empat negeri dan menyebabkan PR ditubuhkan.
Ramai penganalisis menganggap Pilihan Raya 2013 sebagai yang terhebat dalam sejarah kerana BN kali ini akan berhadapan dengan pembangkang yang paling tersusun.
Sumber memberitahu The Malaysian Insider baru-baru ini parlimen mungkin dibubarkan seawal 25 Mac, dua hari sebelum Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor dan Negeri Sembilan tamat tempoh.
“Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mempunyai 60 hari untuk mengadakan pilihan raya tetapi kemungkinan besar akan menunggu sehingga semua DUN dan parlimen dibubarkan,” kata satu sumber lain.
Sumber tersebut mengatakan empat negeri Pakatan Rakyat (PR) berkemungkinan besar akan membubarkan DUN pada waktu sama bagi memastikan pilihan raya umum dijalankan untuk semua negeri kecuali Sarawak yang telah menjalankan pilihan raya negeri pada 2011.
“Pilihan raya umum akan diadakan pada April, sama ada pada minggu kedua atau ketiga kerana BN yakin sokongan besar pada ketika itu,” tambah sumber tersebut.
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak telah menjelajah ke seluruh negara untuk program TV3 Jelajah Janji Di Tepati sepanjang tahun selain dari lawatan ke tempat popular Malaysia dalam usaha untuk melibatkan diri dengan pelbagai demografi rakyat Malaysia.
Beliau juga telah mengumumkan beberapa inisiatif ekonomi dan undang-undang termasuk pemberian kepada orang ramai dengan yang terbaru adalah menyetarakan gaji anggota polis dan tentera dan peningkatan gaji untuk penjawat awam lain semalam.
Sebanyak 222 kerusi parlimen dan 505 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dipertandingkan dalam Pilihan Raya 2013 yang perlu diadakan selewat-lewatnya pada Jun akan datang.
themalaysianinsider
No comments:
Post a Comment