Teringat pada usia kecil aku dulu, menonton berita di kaca tv merupakan aktiviti wajib bagi seisi keluarga dan sebarang program tv lain adalah diharamkan.
Di pagi hari, akhbar harian dari tulisan rumi kadangkala jawi merupakan santapan wajib dicerna bersama hidangan sarapan.
Begitu dulu masyarakat kita menyanjung tinggi dan menghargai maklumat yang diterima atau mungkin itu saja sumber mudah serta murah yang ada.
Keadaan sebaliknya kini berlaku dimana masyarakat tidak hanya boleh menerima maklumat dari berita perdana malah dari pelbagai sumber alternatif dari internet seperti akhbar elektronik, blog, Facebook, twitter, YouTube dan bermacam lagi media sosial lain.
Apa yang membezakan sumber maklumat sebenarnya adalah kecepatan maklumat disampaikan dan yang paling penting adalah kesahihan maklumat yang disampaikan itu sendiri.
Kita boleh membanding bandingkan maklumat yang diterima dari pelbagai sumber itu dan kemudiannya menilai sendiri bagi memperolehi kebenaran.
Percaya atau tidak, hakikat media arus perdana kita telah jauh tersimpang dari landasan matlamat sebenar dalam menyampaikan maklumat.
Amat menyedihkan lagi apabila media menjadi pentas merosakkan pemikiran dengan menabur fitnah atau ‘spin’ khususnya kepada pihak pembangkang dengan mengambil sedikit kata-kata pemimpin tersebut yang mengolah persepsi para pendengar dan pembaca.
Sebagai bukti nyata, akhbar utama kita sering kali disaman atas tuduhan menfitnah serta diperintah membayar denda jutaan ringgit.
Masyarakat ingin perolehi adalah maklumat yang cepat dan tepat, bukan setengah jam atau dua ringgit dibazirkan untuk menonton juga membaca akhbar yang semua kenyataannya hanya berbaur hasutan dan memburukkan pihak lain.
Tahap ketelusan maklumat yang disampaikan oleh media arus perdana serta kebolehpercayaan terhadap masyarakat kini semakin pudar dan sukar diterima.
Kesan apabila terdapat percambahan sumber pada ketika ini, sering kali wujud kekeliruan dikalangan masyarakat kita dalam menerima maklumat.
Apa yang dikhuatirkan adalah sifat malas yang diwarisi masih menebal dikalangan anak bangsa khususnya melayu menyebabkan mereka gagal memperolehi maklumat yang betul.
Kadangkala aku berfikir bahawa adakah benar sebahagian dari kita gagal dalam membuat penilaian, atau sebenarnya sedar hakikat yang benar namun membiarkan saja diri diperbodohkan.
Apakah amalan yang dilakukan oleh media perdana bertujuan baik bagi mengelakkan masyarakat bimbang dengan status semasa keadaan pembangunan, ekonomi, dan sosial?
Masyarakat perlu diberi pendedahan yang jelas tentang keadaan ekonomi semasa yang kian meruncing bukan hanya memainkan isu sensitif seperti agama dan berunsur perkauman demi mencapai matlamat politik.
Spin yang provokatif
Kelmarin aku terbaca surah amanat menjelang PRU 13 dari saudara Anwar Ibrahim, sungguh jelas apa yang hendak beliau sampaikan.
Kelmarin aku terbaca surah amanat menjelang PRU 13 dari saudara Anwar Ibrahim, sungguh jelas apa yang hendak beliau sampaikan.
Segala mesej dan luahan beliau itu dikupas satu persatu tentang kes yang mengaibkan beliau serta mengaitkan bagaimana beliau tidak diberi ruang untuk memberikan penjelasan berkaitan isu tersebut di media rasmi.
Beliau juga mengulas dengan terperinci tentang kes berprofil tinggi melibatkan pemimpin utama dalam kerajaan, dimana pembaca tidak memerlukan tahap pemikiran yang tinggi untuk menilai sendiri pengolahan fakta pada kes tersebut.
Terkini pula adalah putarbelit media yang berbaur politik berkenaan komen Tuan Guru Nik Aziz terhadap pemberian BR1M kepada rakyat oleh kerajaan.
Aku melihatkan bahawa tindakan ‘spin’ akhbar perdana terhadap komen yang dibuat oleh seorang ulama itu amat provokatif dan hanya akan menambahkan kebencian masyarakat terhadap media perdana.
Begitu juga kisah sebelum ini bagaimana Tuan Guru Hadi Awang tidak diberikan ruang menjelaskan pada media televisyen tentang ‘Amanat Hadi’ sebaliknya dihentam habis habisan pula.
Saban hari kita perhatikan penolakan masyarakat terhadap pimpinan kerajaan semakin ketara dari segenap lapisan usia dan kaum serta dari semenanjung hinggalah ke Sabah dan Sarawak.
Tidak dinafikan malah telah dizahirkan oleh masyarakat secara terang terangan dengan beberapa insiden yang berlaku baru baru ini seperti pada sambutan Tahun Baru Cina di Pulau Pinang dan Kajang (Dong Zhong).
Sebenarnya penolakan ini sedikit sebanyak dipengaruhi oleh kegagalan media perdana dalam menyampaikan maklumat dan berita yang sahih dan adil kepada umum.
Penolakan ini juga adalah hasil pencerahan masyarakat dalam menerima maklumat dan menimba ilmu seterusnya mencetus kepada kebangkitan rakyat.
Jujur aku katakan yang aku amat bimbangkan keadaan semasa dengan penolakan dikalangan masyarakat terhadap media perdana dan kerajaan.
Mengkaji apa yang berlaku di timur tengah, telah berlaku revolusi dengan bermulanya apabila berlaku penolakan ketara terhadap kerajaan mereka.
Revolusi yang berlaku itu adalah berpunca dari penyalahgunaan kuasa oleh kerajaan, budaya rasuah, perlanggaran hak asasi manusia, ketidakstabilan ekonomi dan inflasi serta masalah pengangguran.
Merenungkan faktor diatas, persis keadaan berlaku kini boleh diumpamakan seperti minyak menanti sedikit percikan api sahaja untuk ianya dibakar.
PRU 13 nanti pasti bakal menjadi titik penentu penerimaan masyarakat terhadap pentadbiran sekarang atau mungkin penolakan secara total akan berlaku.
fmt
No comments:
Post a Comment