Kerajaan Negeri Selangor akan menganjurkan satu seminar bagi memastikan rumah mampu milik (RMM) di Selangor bukan sahaja berkualiti, malah dapat dijual pada harga lebih rendah dan disiapkan pada masa yang singkat.
Bagi menjayakan visi tersebut, Kerajaan Negeri mengambil inisiatif untuk menganjurkan seminar yang bakal menampilkan pakar-pakar industri perumahan dalam dan luar negara di Hotel Grand Dorsett, Subang Jaya.
Ini merupakan initiatif untuk menambah lebih RMM untuk rakyat selepas Kerajaan Pakatan Rakyat Selangor melancarkan projek RMM ke-6 di Sutera Damansara.
Menurut Exco Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Setinggan, Iskandar A. Samad pakar luar tersebut dipilih berdasarkan kejayaan mereka di negara masing-masing dalam membina perumahan pada harga yang rendah, berkualiti dan disiapkan dalam tempoh yang cepat.
“Sehubungan usaha kita untuk menerokai teknologi-teknologi baru ini, pada 21 Mac ini akan diadakan satu seminar yang dihadiri pakar-pakar perumahan dalam dan luar negeri, terutamanya daripada United Kingdom dan Jepun,” ujar Iskandar.
Beliau berkata demikian di dalam Majlis Pecah Tanah projek Rumah Mampu Milik Sutera Damansara di sini yang turut dihadir Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.
Selain wakil pemaju dan kontraktor, seminar tersebut juga bakal dihadiri oleh pensyarah-pensyarah universiti bagi memastikan perbincangan dapat dijalankan dengan lebih menyeluruh.
Sementara itu, Abdul Khalid dalam majlis sama pula berkata dasar rumah kos rendah Kerajaan Negeri era Umno-BN sebelum ini gagal menyediakan penempatan yang selesa kepada masyarakat Selangor.
Antara masalah yang kerap dihadapi penduduk rumah kos rendah termasuklah kerosakan struktur bangunan dan persekitaran yang tidak sihat.
“Di PJ lebih 100,000 unit (rumah kos rendah) telah dibina, selepas 10 tahun taraf hidup dan kediaman masyarakat di pangsapuri kos rendah dalam keadaan yang tidak memuaskan.
“Sekarang lebih 15 tahun selain keadaan yang buruk, harga rumah tersebut lebih rendah dari mereka beli sehingga ada di sesetengah tempat kurang dari RM20,000,” ujar Abdul Khalid.
TV Selangor juga difahamkan Kerajaan Negeri hari ini terpaksa membelanjakan sehingga RM 70 juta bagi menampung kos membaiki kerosakan pangsapuri kos rendah.
Ia adalah projek usahasama anak syarikat Kerajaan Negeri, Permodalan Negeri Selangor Berhad (PNSB), Semponia Sdn Bhd dan Country Wheel Sdn Bhd.
Ia dibangunkan oleh OSK Property Holding Berhad yang bertindak sebagai pengurus projek.
Projek tersebut bakal menyediakan 236 unit kediaman mampu milik dan dijual pada harga RM89,000 seunit.
selangorku
No comments:
Post a Comment