KUALA LUMPUR 16 Mac: Seorang peguam senior, Cecil Abraham mengaku menyediakan Akuan Bersumpah kedua (SD) untuk bekas penyiasat persendirian, P Balasubramaniam atas arahan perdana menteri, Datuk Seri Najib Razak.
Perkara itu dinyatakan peguam mendiang Bala, Americk Singh Sidhu (gambar) ketika mesyuarat agung tahunan (AGM) Majlis Peguam di Kuala Lumpur, hari ini.
Mesyuarat itu mencadangkan usul untuk mengadakan suruhanjaya bebas bagi menyiasat siapa yang menyediakan draf bagi akuan bersumpah kedua Bala.
“Cecil berjumpa saya dan mengaku mendraf akuan bersumpah kedua tanpa arahan Bala. Arahan ini datang dari Najib,” katanya dalam pertemuan tertutup itu.
Beberapa peguam menulis di twiter menyatakan Americk menerima tepukan gemuruh ekoran pendedahannya.
Malaysiakini melaporkan, beberapa peguam ketika ditemui di luar mesyuarat itu berkata, mereka turut menyokong tuntutan Americk, yang bertemu Abraham dua minggu lalu.
Sementara itu, Ahli Parlimen Puchong, Gobind Singh Deo meminta Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak menjawab dakwaan Americk.
Beliau juga meminta Majlis Peguam menjelaskan mengapa badan itu lewat bertindak.
“Malaysian Bar juga harus memberitahu kami mengapa siasatan mengenai aduan ini ditangguhkan,” ujarnya.
Balasubramaniam pada Julai 2008, membuat akuan bersumpah mengaitkan Najib dengan kes pembunuhan Altantuya Shaariibu.
Beliau antara lain mendakwa Najib pernah mengadakan hubungan seks dengan wanita Mongolia berkenaan.
Bagaimanapun, Bala menarik balik akuan bersumpah tersebut dengan membuat akuan bersumpah kedua sehari selepas mendedahkan SD pertama.
Penyiasat persendirian yang pernah berkhidmat dengan Abdul razak baginda itu kemudian menghilangkan diri selepas mendakwa menerima ancaman.
Bala pulang ke tanahair 24 Februari lepas, dan kemudian nekad untuk menjelajah negara bagi mendedahkan skandal berkenaan.
Bagaimanapun hasratnya tidak kesampaian apabila beliau meninggal dunia semalam, dilaporkan kerana serangan jantung.
Kumpulan peguam hari ini mencadangkan satu usul agar siasatan dibuat terhadap peguam terlibat dalam persediaan SD kedua.
keadilandaily
No comments:
Post a Comment