BATU PAHAT 28 MAC: Tindakan samseng Umno Batu Pahat memukul remaja yang memerhati petugas KEADILAN memasang bendera, bukti keganasan dan dendam politik, kata Ketua Angkatan Muda KEADILAN (AMK) Batu Pahat, Ezaddin Abd Rahman.
Remaja tersebut, Izwan Rahman, 17, ditumbuk dan disepak dimuka hanya kerana memerhati rakan-rakannya dari Kg Jorak Elahi, Bukit Pasir di Batu Pahat membantu memasang bendera KEADILAN dan Pakatan Rakyat.
“Mangsa hanya lalu dan berjumpa rakan-rakannya yang sedang memasang bendera. Dia baru pulang dari bermain futsal.
“Tiba di rumah, empat orang yang dikenali termasuk Ketua Kampung Jorak Elahi dan Ketua Cawangan Umno Jorak Elahi datang bertanya adakah dia terlibat dengan aktiviti pemasangan bendera.
“Mangsa tidak mengaku kerana tidak terlibat. Tapi dia ditumbuk dan dipaksa mengaku. Ini tindakan samseng politik,” kata Ezaddin memaklumkan kejadian yang berlaku kira-kira jam 12 malam Rabu lalu.
Justeru, satu laporan dibuat oleh Izwan bersama wakil KEADILAN Jorak Elahi, Mohd Firdaus Esa dan Ezaddin di Ibu Pejabat Polis Daerah Batu Pahat dan mendesak pihak polis mengambil tindakan tegas terhadap pelaku keganasan.
Kes kini dikendalikan pegawai penyiasat, Inspektor Fauzi Kamaruddin.
“Ini dendam politik Umno BN. Kerana sejak kebelakangan ini, sokongan kepada program KEADILAN mendapat sambutan. Sama ada ceramah, program bantuan dan khidmat sosial, penduduk Batu Pahat pergi kepada kita.
“Mungkin kerana takut kepada pengaruh KEADILAN, mereka cuba ugut penyokong pula,” kata Ezaddin yang juga Timbalan Ketua AMK Johor.
“Gangguan ini tak lunturkan semangat kami. Kita akan teruskan penerangan dan kempen untuk kemenangan Pakatan Rakyat di Batu Pahat,” katanya. – SDQ
keadilandaily
No comments:
Post a Comment