Tuesday, March 12, 2013

Pakatan S’gor kekal status quo 2008


Fazy Sahir | March 12, 2013 
 

PETALING JAYA: Tiada sebarang pertukaran kerusi dalam Pakatan Rakyat malah status quo itu kekal bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di Selangor pada pilihan raya umum ke 13 (PRU-13), kata Pesuruhjaya PAS negeri, Dr Abd Rani Osman.

Beliau berkata,  nama calon dan pembahagian kerusi di negeri itu juga telah selesai.

Maka tidak timbul sebarang khabar angin bahawa akan wujud pertukaran beberapa kerusi Dewan Undangan Negeri Selangor (DUN) oleh PKR dan PAS.

“Saya tidak tahu tentang PKR sama ada mereka sudah memuktamadkan calon untuk bertanding nanti. Tapi bagi perkara ini dah selesai. Malah dakwaan bahawa DUN Ijok akan ditukar oleh PKR kepada PAS juga tidak benar.

“Ini kerana kita ikut status quo bagi PRU-12 lalu,” katanya kepada FMT.

Bagaimanapun Ketua Penerangan PKR Selangor, Shuhaimi Shafiei pula berkata, jika wujud pertukaran kerusi atau kawasan ia di bawah kendalian peringkat pimpinan pusat parti.

Katanya, bagi peringkat Pakatan Rakyat Selangor beliau menyifatkan perkara itu sudah selesai.

“Semua pembahagian kerusi bagi peringkat di Selangor selesai. Jika ada ada pertukaran, permintaan tukar kawasan, ia dikendalikan di peringkat pimpinan pusat. Di peringkat PR Selangor, kami anggap selesai ikut status quo 2008,” kata beliau.

Ijok bertukar?

FMT difahamkan bagi kerusi DUN Ijok yang ditandingi Menteri Besar Selangor,Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dari PKR pada PRU ke-12 lalu akan ditukarkan kepada PAS.

Terdapat ura-ura bahawa Abdul Khalid hanya mempertahankan kerusi parlimen Bandar Tun Razak pada PRU ke-13 nanti.

Pada pilihan raya umum 2008 lalu, PAS diperuntukkan 20 kerusi DUN manakala PKR dan DAP masing-masing diperuntuk 21 dan 15 di Selangor.

Di Selangor, terdapat 22 kerusi parlimen dan 56 DUN dan daripada jumlah itu, PAS memenangi 8 kerusi, PKR dan DAP masing-masing memenangi 16 dan 13 kerusi DUN.

Manakala bagi kerusi parlimen di Selangor, PAS dan DAP masing-masing memenangi empat kerusi manakala PKR sembilan kerusi.

No comments: