SHAH ALAM 23 NOV : Tindakan Budiman Mohd Zohdi (BN-Sungai Panjang) merujuk ‘hansard’ Dewan Negeri Selangor (DNS) yang lama bagi mengulas isu kutipan hasil pasir disifatkan sebagai tidak bertanggungjawab.
Adun Sri Muda, Shuhaimi Shafiei (PKR), berkata tujuan Budiman mengeluarkan fakta tanpa merujuk ‘hansard’ yang terbaharu dalam isu pasir jelas menunjukkan Adun BN itu hanya mahu diberikan kredit membangkitkan isu pasir ketika sidang DNS sedang berlangsung.
Menurut Shuhaimi, kenyataan Budiman kononnya Kerajaan Negeri gagal mencapai unjuran keuntungan pasir sebanyak RM 150 juta sudah diperjelaskan di sidang DNS pada Mac 2012.
“Kita sudah menjelaskan banyak kali bahawa unjuran RM 150 juta bukan pasir semata-mata tetapi meliputi hasil batuan yang lain seperti permit dari tanah merah, tanah liat, silika, termasuk juga pasir kuari, pasir sungai dan pasir lombong.
“Memang diakui terdapat kesilapan dan kenyataan Menteri Besar tidak ditulis dengan lengkap dan jelas sehingga pandangan orang menyangkakan unjuran itu meliputi hasil pasir sahaja.
“Lagi satu, nama pun unjuran maka ianya boleh jadi berjaya dicapai, boleh jadi tidak berjaya dicapai,” jelas Shuhaimi semalam.
Shuhaimi selaku Ahli Lembaga Pengarah Kumpulan Semesta Sdn. Bhd (KSSB) berkata demikian dalam sidang media di DNS bagi mengulas kenyataan dibuat Budiman berhubung isu pasir.
Budiman, dalam satu kenyataan mempersoalkan Kerajaan Negeri mendapatkan kutipan hasil perlombongan pasir berjumlah RM 150 juta seperti yang pernah diumumkan Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim ketika sidang DNS 2009.
Mengulas lanjut, Shuhaimi mendedahkan sejak mengambil alih pengurusan pasir pada tahun 2008, sehingga Oktober 2013 KSSB berjaya mencatat hasil jualan sebanyak RM 301 juta.
Keuntungan itu kemudiannya digunakan untuk membayar royalti kepada Pejabat Tanah dan Daerah (RM 54 juta), tuan tanah operasi pasir seperti Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) dan Permodalan Negeri Selangor Berhad (PNSB) sebanyak RM 8.9 juta serta sumbangan dalam program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) sebanyak RM 1.8 juta.
Selain itu, KSSB turut menyumbangkan RM 18 juta untuk Kerajaan Negeri khususnya bagi membiayai program Jom Shopping selain membayar dividen kepada Pemerbadanan Menteri Besar (MBI) sebanyak RM 29 juta, menjadikan keuntungan sebelum cukai KSSB adalah sebanyak RM 77 juta.
: EZY
No comments:
Post a Comment