Tuesday, November 12, 2013

Kes JAIP Tidak Gentarkan JAIS


SHAH ALAM 11 NOV : Kejadian pembunuhan pegawai tinggi Jabatan Penguatkuasa Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP) semalam tidak akan melunturkan semangat Kerajaan Selangor untuk menjalankan kerja-kerja penguatkuasaan undang-undang di negeri itu.
Exco Hal Ehwal Islam, Sallehen Mukhyi, berkata penguatkuasa Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) sentiasa bersedia untuk menghadapi apa sahaja kemungkinan dalam menjalankan tugas walaupun sedar kejadian jenayah seperti bunuh dan tembak semakin berleluasa.
Menurut Sallehen, cabaran seperti itu sebenarnya yang memberi kekuatan dan semangat untuk JAIS mempergiatkan lagi kerja-kerja penguatkuasaan terhadap sebarang aktiviti atau pergerakan yang berpotensi menggugat akidah umat Islam di negeri ini.
“Kejadian itu tidak akan mengganggu kita kerana kita juga yakin bahawa tugasan kita ini adalah berlandaskan peruntukan enakmen agama Islam yang ditetapkan mengikut undang-undang.
“Pegawai-pegawai JAIS juga sedar bahawa tugasan yang kita kerjakan ini bukan sahaja untuk mengejar habuan dunia tetapi yang lebih penting ialah untuk mendapat habuan akhirat,” katanya yang dihubungi Selangor Kini.
Semalam, Ketua Penolong Pengarah Penguatkuasa JAIP, Mohd Raffli Ab Malik ditembak mati di rumahnya selepas terkena tiga das tembakan.
Pihak penyiasat percaya kejadian itu mempunyai motif kerana ia berlaku dalam masa yang singkat iaitu kurang dari satu minit.
Mengulas kejadian itu, Sallehen menggesa agar pihak bertanggungjawab dapat menggiatkan lagi penguatkuasaan undang-undang mencegah dan membanteras jenayah.
“Kita faham soal hidup dan mati ini memang kerja Allah, tetapi kita juga perlu berusaha untuk membantu agar kejadian seumpama ini dapat dielakkan,” kata Sallehen.
EZY

selangorkini

No comments: