SHAH ALAM 21 NOV: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) (Sekinchan-DAP), Ng Sue Lim menyarankan bayaran bonus kepada kakitangan kerajaan negeri sebelum musim persekolahan tahun 2014.
Sue Lim berkata, pembayaran bonus itu dijangka mampu meringankan beban yang terpaksa ditanggung ibu bapa bagi membiayai pelbagai keperluan persekolahan anak.
“Saya kira Menteri Besar tentu tidak keberatan kerana mereka ini bekerja keras memastikan kejayaan kerajaan negeri melaksanakan pelbagai misi untuk kesejahteraan rakyat Selangor.
“Jadi saya harap Menteri Besar dapat mengumumkan bonus sebelum bermula musim persekolahan tahun depan,” katanya ketika membahaskan Belanjawan Selangor 2014, di sini, semalam.
Sue Lim juga mengambil kesempatan mengucapkan tahniah di atas keputusan kerajaan negeri membayar bonus sebanyak sebulan gaji kepada kakitangannya sebelum menjelang sambutan Hari Raya Aidilfitri sebelum ini.
“Bonus raya itu lebih banyak berbanding pemberian Bantuan Raya RM500 oleh kerajaan pusat tetapi sudah lama dan duit bonus itu sudah tentu dibelanjakan untuk persediaan hari raya.
“Maka saya rasa wajar kerajaan negeri mengeluarkan bayaran bonus untuk kakitangannya,” katanya.
Semalam ketika membentangkan Belanjawan Negeri Selangor 2014, Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berharap kakitangan kerajaan Nngeri akan menerima konsep kenaikan gaji dan pemberian bonus berdasarkan kecemerlangan prestasi, kecekapan dan keberkesanan selari dengan piawaian serta amalan terbaik antarabangsa.
Langkah memperkenalkan konsep itu dibuat bagi memastikan penjawat awam di Selangor bersikap profesional, telus, bertanggungjawab dan berintergiti setiap masa.
-NFN-
selangorkini
No comments:
Post a Comment