Monday, November 25, 2013

Kawasan Pertanian Pekerja Ladang Harus Diambil Perhatian Oleh Kerajaan Negeri


Selangor tidak ada menyediakan kawasan pertanian untuk dimanfaatkan oleh pekerja ladang tempatan di negeri itu sebagai usaha menambahkan sumber pendapatan.
Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kesihatan, Pekerja Ladang, Kemiskinan dan Kerajaan Prihatin, Ganabatirau Veraman berkata, kerajaan negeri tiada rancangan sedemikian dalam masa terdekat ini.
Bagaimanapun, beliau mengalu-alukan sekiranya ada pengusaha ladang membuka kawasan mereka untuk pertanian dan mengambil pekerja ladang bekerja.
Menjawab soalan tambahan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sri Muda, Mat Shuhaimi Shafiei, Exco berkenaan memberitahu, beliau kini dalam peringkat perbincangan dengan pemaju perumahan bagi projek pembinaan rumah teres untuk pekerja-pekerja ladang.
“Saya menerima banyak aduan daripada pekerja ladang yang mengatakan mereka tidak selesa tinggal di rumah pangsa kerana selain bangunannya bertingkat-tingkat dan tinggi, mereka juga sering berhadapan dengan kerosakan lif.
“Kita akan minta pemaju membina lebih banyak rumah teres dan memindahkan pekerja ladang ini ke kediaman yang lebih selesa dan baik,” katanya ketika menjawab soalan pada Mesyuarat Ketiga (Bajet) Penggal Pertama DUN Selangor Ke-13 di Dewan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) di sini.
Berhubung soalan tambahan daripada ADUN Kuala Kubu Baharu, Lee Kee Hiong mengenai kebanjiran pekerja asing di ladang, Ganabatirau berkata, beliau tidak menafikan kewujudan itu dan usaha dilakukan bagi memastikan mereka tidak mengganggu pekerja tempatan.
Jelas beliau, memang wujud pekerja asing yang memegang Mykad sehingga ada kalanya mengelirukan pihak penguat kuasa untuk membezakan antara pedatang asing dengan tempatan.
“Saya tidak nafikan wujudnya pemegang Mykad oleh pekerja asing yang bekerja di ladang dan saya telah mengarahkan UPEN (Unit Perancang Ekonomi Negeri) menjalankan kajian di semua ladang untuk mendapatkan data tepat mengenai mereka.
“Data ini akan membolehkan kita membezakan antara pekerja asing dengan pekerja tempatan dan memastikan hanya pekerja tempatan di ladang sahaja yang akan menerima bantuan daripada kerajaan negeri,” katanya.-

-MalaysiaGazette

No comments: