Friday, November 22, 2013

Tarif Cukai Pintu Kuala Lumpur Naik Bermula 2014


Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Ahmad Phesal Talib hari ini mengesahkan pemilik hartanah di ibu kota akan dikenakan tarif cukai baru bermula Januari 2014.
Beliau berkata, kenaikan itu disebabkan peningkatan kadar penilaian semula yang dilakukan oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).
"Kenaikan cukai pintu bukan disebabkan kenaikan peratusan cukai baru tetapi peningkatan itu adalah penilaian semula hartanah yang dilakukan oleh DBKL.
"Kadar baru itu akan diumumkan oleh Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor selepas tarikh tutup bantahan berhubung kenaikan cukai baru itu," katanya pada satu sidang media selepas pertemuan bersama Ahli parlimen Kuala Lumpur di Ibu Pejabat DBKL hari ini.
Katanya, Tengku Adnan akan mencari jalan terbaik bagi memastikan kenaikan kadar cukai itu tidak membebankan rakyat.
Tengku Adnan yang turut hadir di sidang media itu berkata penilaian semula nilai hartanah diperlukan bagi DBKL setelah 21 tahun tidak melakukan kajian.
“Ia sebenarnya memberi faedah kepada pemilik hartanah. Keputusan kami akan bersifat menang-menang untuk kedua-dua pihak.”
Beliau turut tidak menolak kemungkinan memberikan kadar diskaun terhadap cukai baru itu.
Katanya, dana yang bakal diperoleh melalui pembaharuan cukai itu nanti akan digunakan untuk pembangunan bandar dan penyelenggaraan.
“DBKL menerima dana daripada kerajaan namun apa yang kami cuba lakukan adalah mencari dana sendiri melalui cukai taksiran dan jenis cukai yang lain.”
Ketika ditanya mengapa DBKL tidak menggunakan dana sendiri bagi membiayai projek dan proses naik taraf, beliau berkata wang tersebut tidak boleh disentuh yang merupakan deposit selamat DBKL.
Dalam pertemuan bersama ahli parlimen Kuala Lumpur hari ini, beliau meminta wakil rakyat itu menyampaikan kepada umum berhubung apa yang cuba dilakukan DBKL.
Katanya, ini bagi mengelak kekeliruan di kalangan pemilik hartanah yang menerima surat daripada DBKL berhubung kadar baru cukai pintu.
Tengku Adnan berkata daripada 500,000 surat yang dihantar, 2,500 jawapan bertulis telah diterima daripada pemilik yang menyatakan bantahan.
“Jumlah yang dicetak dalam surat itu bukanlah jumlah sebenar yang harus dibayar. Jumlah itu hanyalah kadar sewa tahunan hartanah. Jumlah yang perlu dibayar hanya peratusan kecil daripada kadar sewa tahunan yang belum lagi diputuskan,” katanya.
Sementara itu, ahli Parlimen Batu PKR Chua Tian Chang yang ditemui selepas mesyuarat itu berkata semua ahli Parlimen Kuala Lumpur termasuk Barisan Nasional (BN) tidak berpuas hati terhadap kenaikan nilai taksiran baru itu.
Katanya, mereka telah mencadangkan beberapa formula seperti penangguhan kenaikan untuk tempoh enam bulan dan membuat penilaian semua terhadap kenaikan nilai taksiran DBKL.
"Nampaknya DBKL tidak bersedia menangguh atau membatalkan kenaikan nilai taksiran ini. Bagaimanapun, menteri telah bersetuju untuk menyemak semula dua perkara iaitu kadar cukai ditimbang semula seperti kediaman 6% dan komersil 12%.
"Menteri bersetuju mempertimbangkan kadar lebih rendah selain kerajaan mempertimbangkan pemberian diskaun terhadap kadar yang akan dibayar.
Beliau berkata ahli Parlimen Kuala Lumpur tidak meyakini proses diskaun itu akan berlaku sambil menyatakan pendirian rakyat tidak harus dibebankan dengan kadar kenaikan berbanding kadar inflasi.
"Kenapa tidak ikut Indeks Harga Pengguna untuk dijadikan panduan? Sekarang mereka gunakan potensi sewa sebagai panduan. Kami akan mengemukakan bantahan di Parlimen agar kenaikan itu dikaji semula kerana saya percaya DBKL tidak mempunyai sumber manusia yang cukup untuk mendengar kes demi kes.
"Tahun lalu Datuk Bandar mengakui tanpa kenaikan cukai pintu, DBKL mampu menyediakan segala kemudahan yang diperlukan dan memungut lebih dana kerana lebih banyak rumah dibina di Kuala Lumpur selain berada dalam bajet yang selesa,” katanya. – 21 November, 2013.

TMI

No comments: