Loading...

Monday, November 4, 2013

Laporan Langsung PRK Sg Limau

Selepas 12 hari berkempen, seramai 27,222 pemilih akan menentukan siapakah wakil rakyat mereka yang baru di Sungai Limau hari ini.

NONECalon BN Ahmad Sohaimi Lazim, 53, bertanding melawan calon PAS Mohd Azam Samat, 37, dalam pertandingan satu lawan satu.

Pemenangnya akan menggantikan bekas menteri besar Kedah Tan Sri Azizan Razak yang meninggal pada 26 September lalu.

Sungai Limau dimenangi PAS sejak 1995.

Azizan mempertahankan kerusi itu untuk penggal kelima dalam pilihan raya umum lalu dengan majoriti 2,772 dalam pertemuan empat penjuru, termasuk calon BN Fazillah Mohd Ali.

Kawasan majoriti Melayu itu mempunyai 93 peratus pemilih Melayu, 1,842 Cina (6.7 peratus), 15 India (0.6 peratus) dan lain-lain.

Kesemua 58 saluran di 17 pusat pengundian dibuka pada jam 8 pagi dan akan ditutup pada 5 petang.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menganggarkan peratusan keluar mengundi yang tinggi sehingga 90 peratus.

LAPORAN LANGSUNG


11.53am: Seramai 12,166 dari 27,222 pengundi (44.07 peratus) menunaikan tanggungjawab setakat jam 11 pagi, menurut Bernama yang memetik kenyataan jurucakap SPR.

11.25am 
SMK Bukit Besar - Balu Tan Sri Azizan Abdul Razak, Puan Sri Faekah Sheikh Hamzah berkata beliau kesal dengan penyebaran SMS palsu yang mendakwa beliau menggesa pengundi memilih BN.
Menurutnya, SMS tersebut mendakwa beliau kesal dengan penghinaan PAS ke atas Allahyarham Azizan.
"Tentulah saya harap PAS akan menang," katanya ketika ditemui wartawan selepas membuang undi.

11.24am
 Sekolah Kebangsaan Bukit Besar - Wartawan KiniTV Sumisha Naidu berkata beliau tidak menyedari bahawa petugas media tidak dibenarkan menemubual pengundi dalam kawasan pusat pengundian.
Beliau merupakan antara petugas media yang diarahkan keluar dari kawasan pusat pengundian tersebut pagi ini.
Dalam kejadian kira-kira jam 8.15 pagi itu, pegawai SPR dan seorang anggota polis meminta beliau beredar dari pusat pengundian tersebut atas dakwaan kesalahan berkenaan.
"Ya ia kesalahan saya tapi ia tidak disengajakan," katanya yang memberi alasan bahawa tiga orang wartawan lain turut menemubual pengundi pada masa itu.
Oleh sebab itu, beliau beranggapan bahawa tindakan tersebut dibenarkan.

Katanya, petugas China Press juga diusir dari kawasan tersebut dalam kejadian berkenaan.

10.55am 
SMK Bukit Besar - Menteri Besar Kedah, Datuk Mukhriz Mahathir meluangkan masa melawat pondok panas BN yang terletak kira-kira 50 meter dari SMK Bukit Besar.

"Seperti yang biasa berlaku, apabila jumlah yang keluar mengundi itu tinggi, kebarangkalian untuk BN menang itu juga tinggi," katanya.
Balu Tan Sri Azizan Abdul Razak, Puan Sri Faekah Sheikh kemudiannya tiba di pusat pengundian tersebut beberapa minit kemudian untuk membuang undi.

Beliau yang diiringi AJK PAS Pusat Dr Dzulkefly Ahmad turut meluangkan masa di hadapan pintu pagar sekolah untuk memberikan ruang kepada lensa jurugambar merakam fotonya.

10.42
am  
Seramai 8,278 pengundi (30.4 peratus) telah menunaikan tanggungjawab setakat jam 10 pagi, menurut laporan Bernama yang memetik kenyataan jurucakap SPR.
NONE10.35am SK Dulang Kechil - Sekumpulan penyokong PAS menghalang empat orang penyokong BN yang ingin memasuki kawasan masjid untuk ke tandas.
Dua kumpulan berperang mulut selama beberapa minit dan hampir bergasak namun dileraikan oleh beberapa orang anggota polis.
10.15 SJK(C) Pei Hwa, Kampung Batu 17 - Terdapat provokasi kecil di kalangan penyokong PAS dan BN.

"Jangan buat kacau di sini," seorang polis yang bertugas di situ memberi amaran sambil menjarakkan mereka.
10.10 SK Dulang Besar - Terdapat khabar angin pergaduhan di Sedaka. Bagaimanapun, Naib Presiden PAS Datuk Mahfuz Omar ketika ditanya berkata beliau tidak mendengarnya.

"Gaduh dalam pemilihan Umno lagi teruk," katanya kepada pemberita.

Mahfuz juga memberitahu, penyokong PAS akan berkumpul di Markas Padang Lumat selepas jam 5 petang untuk mengikuti keputusan pilihan raya dari masa ke semasa.

Menurut pegawai SPR, setakat ini, 3,927 orang (14.43 peratus) sudah keluar mengundi.

Pengerusi SPR Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof dilapor sebagai berkata, peratusan keluar mengundi yang melebihi 10 peratus pada sejam pertama adalah sangat baik.
9.30am SMK Bukit Besar - Kira-kira 50 meter dari pintu utama SMK Bukit Besar, penyokong dan perayu undi BN bersorak-sorak "Hidup BN!" setiap kali ada kenderaan membawa pengundi masuk ke jalan menuju ke SMK Bukit Besar.

NONEMereka bersorak-sorak sambil mengibarkan bendera kecil dengan logo BN.

Kira-kira 10 meter dari mereka pula adalah penyokong dan perayu undi PAS yang sebahagiannya berterima kasih kepada pengundi yang telah keluar membuang undi hari ini.

Bekas MP Hulu Selangor, Dr Dzulkefly Ahmad dari PAS adalah antara yang kelihatan berterima kasih kepada mereka yang telah membuang undi di SMK Bukit Besar.

Beliau berdiri di tepi jalan berhampiran Klinik Kesihatan Bukit Besar bersama-sama penyokong PAS.
9.30am SK Dulang, Dulang Besar - Proses merayu undi semakin rancak. Penyokong PAS membawa kain rentas menolak cukai barangan dan perkhidmatan (GST) yang akan dimulakan kerajaan.

Di pihak BN, kelihatan Puteri Umno, dengan berpayung biru pula membawa gambar calon mereka dan mempamerkan tulisan "I love BN".

NONEPenyokong PAS terus melaungkan slogan "hancur BN", "undur BN" dan "balik BN". Penyokong BN masih diam. Sebahagiannya berbisik, "bila mereka berhenti, baru kita mula".

Bagaimanapun, terdapat anggota Puteri Umno yang menyindir musuh politk mereka:

"Mereka tidak makan ubat hari ini, sebab itu jadi macam itu," kata mereka.

Ketika penyokong BAS melaungkan "Barang Naik!", penyokong BN membalas "BR1M naik".

9.20am SMK Bukit Besar - Perayu undi BN dan PAS berkumpul berhampiran Klink Kesihatan Bukit Besar, menunggu pengundi yang hadir ke SMK Bukit Besar.

Sebahagiannya mengucapkan terima kasih kepada pengundi-pengundi yang telah membuang undi.

8.30 SK Dulang - Sohaimi tiba untuk membuang undi bersama isteri. Berbaju biru, beliau sempat senyum kepada pemberita.

NONEBeliau tidak menjawab apabila ditanya sama ada beliau ada merasa gugup. Selepas mengundi, Sohaimi menunjukkan jarinya yang ditanda dengan dakwat kekal.

"Semuanya OK. Kita sudah sampai ke kemuncaknya hari ini," katanya kepadaMalaysiakini.

Beliau turut membantu pemilih yang berkerusi roda.

Tiga anak perempuan dan seorang lelaki Sohaimi turut menemaninya dan sempat menyapa pemberita Cina dengan ucapan kam siah(terima kasih dalam dialek Hokkien).

NONE8.26am SMK Bukit Besar - Calon PAS, Mohd Azam Abd Samat tiba di SMK Bukit Besar pada jam 8.26 pagi bersama isteri.

Beliau membuang undi tepat jam 8.31 pagi dengan senyuman penuh keyakinan.
8.00am Dulang Besar - Peti undi dibuka dan cuaca baik hari ini.

Bagaimanapun, proses pembuangan undi bermula perlahan.

Di SMK Dulang, seorang jentera parti memberitahu, setakat ini hanya sepuluh pemilih yang menunaikan tanggungjawapnya di situ.

Dulang Besar antara kubu kuat BN dalam DUN itu.


malaysiakini

No comments: