Friday, November 15, 2013

DYMM Sultan Selangor Kalimah Allah Eksklusif Untuk Penganut Agama Islam


PETALING JAYA: Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah hari ini menetapkan bahawa semua rakyat negeri itu, tanpa mengira agama dan keturunan perlu akur dan mematuhi larangan penggunaan Kalimah Allah oleh mereka yang bukan beragama Islam.
Perkara itu diputuskan setelah berunding dengan Dewan diRaja Selangor yang bersidang pada 11 November lalu seperti yang diperuntukkan dalam Seksyen 9 Bahagian 1 Enakmen Ugama Bukan Islam (Kawalan Perkembangan Dikalangan Orang Islam) 1988.
Enakmen tersebut terpakai kepada semua orang sama ada Islam atau bukan Islam dalam negeri Selangor.
“Semua rakyat perlu patuh kepada keputusan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor yang telah membincangkan isu berkaitan dengan tuntutan penganut agama Kristian terhadap penggunaan kalimah Allah.
“Muzakarah yang diwartakan pada 18 Februari 2010 memutuskan bahawa kalimah Allah adalah kalimah suci yang khusus bagi agama dan umat Islam dan ia tidak boleh digunakan untuk merujuk kepada Tuhan dalam agama lain.
“Sesungguhnya kedudukan agama Islam di Malaysia telah didaulatkan dalam Artikel 3 Perlembagaan Persekutuan sebagai Agama bagi Persekutuan dan mempunyai kedudukan istimewa berbanding agama lain,” titahnya.
Kenyataan khas itu dikeluarkan melalui Setiausaha Dewan diRaja Selangor Hanafisah Jais hari ini.
Berhubung kes The Herald, Baginda yang merujuk kepada ketetapan undang-undang dan fatwa, menitahkan penggunaan kalimah Allah dalam kitab ‘Bible’ dan juga penerbitan ‘Herald’ versi Bahasa Melayu perlu dihentikan serta merta.
“Ini bagi mengelakkan kekeliruan umat Islam di negeri ini dengan penggunaan kalimah Allah oleh penganut agama lain dalam agama mereka, kerana kalimah Allah bagi umat Islam adalah merujuk kepada Tuhan Yang Satu seperti yang terdapat dalam surah Al-Ikhlas,” titahnya.
Merujuk kepada rayuan kes di Mahkamah Rayuan antara Kementerian Dalam Negeri dengan penerbitan mingguan Katolik, The Herald pada 14 Oktober lalu, Baginda turut menggesa semua rakyat di Selangor mematuhi keputusan itu.
Baginda turut menasihati agar mana-mana pihak tidak mengambil kesempatan untuk menjadikan kalimah Allah ini sebagai agenda politik kerana menganggap ia satu kalimah suci yang melibatkan akidah umat Islam.
Di bawah adalah kenyataan khas DYMM Sultan Selangor
“Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor setelah berunding dengan Dewan di-Raja Selangor yang bersidang pada 11 November 2013, telah membuat ketetapan tegas bahawa semua rakyat di negerì Selangor khasnya, tanpa mengira agama dan keturunan perlu akur dan patuh terhadap larangan penggunaan kalimah Allah oleh mereka yang bukan beragama Islam sepertimana yang diperuntukkan di dalam Jadual kepada Seksyen 9 Bahagian 1 Enakmen Ugama Bukan Islam (Kawalan Perkembangan DI Kalangan Orang Islam) 1988 yang telah diwartakan pada 7 Julai 1988. Enakmen tersebut adalah terpakai kepada semua orang sama ada Islam atau bukan Islam di dalam negeri Selangor.
Selanjutnya, Baginda menegaskan bahawa semua rakyat di negeri Selangor, perlu patuh terhadap keputusan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor yang telah membincangkan isu berkaitan dengan tuntutan penganut Agama Kristian terhadap penggunaan kalimah Allah. Muzakarah tersebut telah memutuskan bahawa kalimah Allah adalah kalimah suci yang khusus bagi agama dan umat Islam dan ia tidak boleh digunakan untuk merujuk kepada Tuhan dalam agama-agama lain. Keputusan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor tersebut telah diwartakan pada 18 Februari 2010 (Sel. P.U. 6).
Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor turut menegaskan bahawa sesungguhnya kedudukan agama Islam di Malaysia telah didaulatkan dalam Artikel 3 Perlembagaan Persekutuan sebagaì Agama bagi Persekutuan dan mempunyai kedudukan istimewa berbanding agama-agama Iain.
Berhubung dengan kes The Herald, Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor sekali lagi menzahirkan dengan tegas pendirian Baginda berhubung lsu Nama Allah bahawa Nama Allah yang merupakan kalimah suci khusus bagi umat Islam tidak boleh sama sekali digunakan di Negeri Selangor oleh mana-mana agama bukan Islam yang Iain sebagaimana yang diperuntukkan di dalam undang-undang dan fatwa yang berkuatkuasa. Oleh yang demikian, penggunaan kalimah Allah di dalam ‘Bible’ dan juga penerbitan ‘Herald’ versi Bahasa Melayu perlu dihentikan serta merta. lni bagi mengelakkan kekeliruan umat Islam di negeri ini dengan penggunaan kalimah Allah oleh penganut-penganut agama lain dalam agama mereka, kerana kalimah Allah bagi umat lslam adalah merujuk kepada Tuhan Yang Satu seperti yang terdapat di dalam Surah AI-Ikhlas.
Maka, dengan itu, Baginda menggesa semua rakyat yang duduk di negeri Selangor khasnya perlu menghormati dan mematuhi keputusan yang dibuat oleh Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan, Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor, undang-undang serta keputusan secara sebulat suara oleh Mahkamah Rayuan dalam kes Menteri Dalam Negeri & lapan (8) yang lain v Titular Roman Catholic Archbishop of Kuala Lumpur (Rayuan Sivil No: W-Ot-l-ZOlO) pada 14 Oktober 2013.
Baginda juga menasihatkan agar mana-mana pihak tidak mengambil kesempatan untuk menjadikan kalimah Allah ini sebagai agenda politik mereka kerana kalimah Allah ini ialah satu kalimah yang suci dan melibatkan akidah umat Islam.
Umat Islam digesa supaya merapatkan barisan, dan bersatu padu dalam mempertahankan kesucian kalimah Allah dan menghalang segala usaha mana-mana anasir yang tidak bertanggungjawab untuk menyalahguna dan menghlna kalimah Allah yang suci ini. Adalah ditegaskan bahawa isu yang berkaitan dengan agama tidak seharusnya dipandang ringan kerana ia boleh membawa implikasi buruk kepada keselamatan negara dan boleh menimbulkan ketegangan antara kaum di negara ini.
Baginda berdoa ke hadrat Allah S.W.T. agar perpaduan dan keharmonian rakyat negara ini sentiasa terpelihara dan mereka dapat hidup dengan aman damai, menghormati antara satu sama lain dan saling bertolak ansur.”

FMT

No comments: