Loading...

Wednesday, November 13, 2013

CGT Antara Inisiatif Terbaik Sebelum Mengenakan GST



KUALA LUMPUR 12 NOVEMBER: Pelaksanaan Cukai Keuntungan Modal (CGT) langkah terbaik bagi menggantikan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) yang akan dilaksana pada 1 April 2015.
Azrul
Azrul
Penganalisis ekonomi, Azrul Azwar Ahmad Tajudin berkata, CGT yang dikenakan ke atas keuntungan jualan aset seperti jualan saham, bon, hartanah dan emas akan membolehkan kerajaan memperoleh pendapatan RM8 bilion hingga RM10 bilion setahun.
Katanya, pendekatan itu akan dapat mengurangkan beban rakyat miskin daripada terus dihimpit dengan pelaksanaan GST yang disifatkan lebih memberi manfaat kepada golongan berada.
“Kalau boleh kita memang mahu CGT dilaksanakan, tetapi nampaknya tidak akan dilaksanakan. Permulaan CGT jika dilaksanakan lagi mudah kerana mengikut kiraan secara rawak dengan mengambil kira beberapa perkara dan kerajaan boleh meraih pendapatan RM8 hingga 10 bilion,” katanya, lapor Media Selangorku.
Sementara itu, Pengarah Penyelidikan PAS Pusat, Dr Dzulkifli Ahmad berkata, kerajaan boleh melaksanakan sumber lain seperti CGT sebelum GST dilaksanakan.
“Kita katakan bahawa ada lagi sumber lain seperti CGT seperti cukai ke atas keuntungan aset kewangan. Ambil daripada orang kaya dulu, gunakan sumber lain berbanding menekan rakyat berpendapatan sederhana dan rendah,” katanya.
Beliau berkata, pengambilan cukai GST daripada golongan miskin adalah satu perbuatan yang songsang dari sudut agama Islam.
“Dari sudut Islam juga, cukai perlu diambil daripada golongan kaya bukannya miskin. Itu adalah perbuatan tidak betul dari segi moral dan etika, bahkan pelaksanaan GST akan menyebabkan harga lebih 2,000 barangan serta perkhidmatan dinaikkan,” katanya.
Setakat ini, kerajaan hanya mengenakan CGT ke atas keuntungan jualan hartanah yang dipanggil Kenaikan Kadar Cukai Keuntungan Hartanah (RPGT).

KD

No comments: