Loading...

Wednesday, November 6, 2013

Pimpinan Pakatan Rakyat Mengucapkan Tahniah Diatas Kejayaan PRK Sg Limau



SHAH ALAM 5 NOV : Pimpinan Pakatan Rakyat (PR) mengucapkan tahniah kepada jentera mereka di atas kesungguhan gerak kerja dan pengundi DUN Sungai Limau yang memberikan kejayaan kepada calon PAS dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) itu, semalam.
“Alhamdulillah, syukur atas kemenangan calon PAS di Sungai Limau. Tahniah kepada Ustaz Azam, petugas dan pengundi serta terbukti asakan, sogokan juga fitnah media Umno ditolak rakyat,” kata Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim, di laman Twitternya.
Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang pula berkata, PAS akan memastikan amanah yang diberikan kepada wakil rakyat baru Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Limau dilaksanakan dengan sebaiknya.
“Terima kasih yang tidak terhingga juga kepada petugas daripada PAS dan rakan PR yang datang dari seluruh pelusuk tanah air untuk membantu kemenangan calon kami.
“Sumbangan tenaga dan dalam apa juga bentuk bantuan sepanjang tempoh PRK itu sangat dihargai. Semoga Allah SWT membalas segala pertolongan semua,” katanya.
Bagi Penasihat DAP, Lim Kit Siang, kemenangan PR dalam PRK itu akan memberikan inspirasi untuk kempen Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) bagi berhadapan jentera kerajaan pusat dan negeri yang digunakan Barisan Nasional (BN).
“Kemenangan PAS dan PR memberikan inspirasi besar untuk berhijrah dari ‘Sungai Limau ke Putrajaya’,” katanya.
Calon PAS, Mohd Azam Abd Samat, 37, memperoleh 12,069 undi mengalahkan calon BN, Dr Ahmad Sohaimi Lazim, 52, yang mendapat 10,985 undi yang membolehkan parti itu mengekalkan kerusi DUN Sungai Limau dengan majoriti 1,084 undi.
Pada PRU ke-13 Mei lalu, mantan Menteri Besar Kedah, Tan Sri Azizan Razak memenangi kerusi DUN Sungai Limau dalam pertandingan empat penjuru dengan majoriti 2,774 undi.
Keputusan rasmi PRK DUN Sungai Limau diumumkan Pegawai Pengurus Pilihan Raya, Abdul Rashid Othman di pusat penjumlahan undi di Dewan Lukman Al-Hakim, Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Yan, kira-kira jam 9 malam, semalam.
Sementara itu, Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat pula menyifatkan kemenangan calon parti itu sebagai kemenangan hari pertama tahun hijrah 1435H.
Dalam entri terbaru di laman Facebook beliau, Nik Aziz memanjatkan kesyukuran dengan kemenangan itu dan merakamkan tahniah kepada semua petugas, penyokong dan pengundi.
“Tahniah saya rakamkan kepada semua petugas, penyokong dan pengundi PAS yang ternyata menolak tawaran wang ringgit semata-mata untuk kekal istiqamah bersama dengan PAS.
“Kemenangan di hari pertama tahun hijrah 1435H diharap menjadi langkah kanan kita untuk terus melakar sejarah gemilang di pentas politik negara,” katanya. -NFN-


selangorku

No comments: