Thursday, November 28, 2013

Isu Pengintipan Negara , Putrajaya Lambat Ambil Tindakan


Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim (gambar) hari ini sekali lagi mengkiritik  kerajaan Barisan Nasional (BN) dengan menyatakan kepimpinan tersebut  lembab dalam menangani isu pengintipan negara.
Tegas Anwar, isu pengintipan negara oleh tiga buah negara Amerika Syarikat (AS), Australia dan Singapura adalah perkara yang amat serius dan amat biadap.
Bagaimanapun kata beliau amat menghairankan kerajaan termasuk Menteri Dalam Negara (KDN) dan Perdana Menteri Datuk Najib Razak yang berdiam diri mengenai hal itu.
"Ini berkaitan soal maruah keselamatan negara tetapi mana kenyataan Menteri Dalam Negeri, Perdana Menteri? Tidak ada.
"Kita mahu kerajaan mengambil tindakan tegas dengan menyiasat kerana bukti penglibatan sudah ada. ,Tuntutan ini perlu dilakukan," katanya dalam sidang media di Parlimen hari ini.
Anwar berkata lagi, kerajaan perlu menghantar tuntutan kepada tiga buah negara tersebut untuk segera menghentikan kegiatan pengintipan.
Lebih daripada itu, kerajaan harus mendesak mereka memohon maaf kepada Malaysia juga perlu memberi jaminan bahawa kerja pengintipan tidak akan berulang lagi.
Sebelum ini Ketua Pembangkang itu juga pernah mengkritik Najib berhubung isu yang sama.
Susulan isu tersebut, Persidangan Dewan Rakyat semalam mendengar cadangan usul Ahli Parlimen Bukit Katil Shamsul Iskandar Mohd Akin bagi membahaskan isu-isu berkaitan pengintipan yang dilakukan oleh Amerika Syarikat, Australia dan Singapura.
Ketika mencadangkan usul tersebut, Shamsul berkata Dewan Rakyat perlu bertegas dalam memberi tekanan kepada tiga buah negara tersebut.
Speaker Datuk Pandikar Amin Mulia berkata usul tersebut tidak perlu disegerakan kerana Menteri Luar akan mengambil tindakan ekoran bantahan tersebut.
Baru-baru ini, akhbar Der Spiegel dan Sydney Morning Herald melaporkan pemberi maklumat perisikan, Edward Snowden mendedahkan kegiatan pengintipan global yang dibuat oleh Amerika dan Australia di seluruh dunia termasuk Malaysia.
Snowden mendakwa, Amerika menjalankan kegiatan pengintipan itu melalui stesen pengintipannya yang terletak di dalam bangunan kedutaan Amerika di Kuala Lumpur dengan mengintip perbualan telefon dan rangkaian komunikasi.
Bulan lalu, sumber perisikan Australia pula mengesahkan alat perisikan rahsia XKeyscore yang didedahkan Snowden telah digunakan untuk mengintip Malaysia di samping negara Asia Pasifik yang lain.
Berdasarkan laporan terakhir yang didedahkan Snowden yang kini mendapat perlindungan sementara di Moscow, Russia, terdapat 90 alat intipan yang dipasang di seluruh dunia termasuk di kedutaan Amerika di Jakarta, Bangkok, Phnom Penh dan Yangon. – 27 November, 2013.

TMI

No comments: