Tuesday, November 19, 2013

Penantian 10 tahun Pembeli Rumah Pangsapuri Andora Berakhir



SHAH ALAM 18 NOV : Penantian selama 10 tahun seramai 160 pembeli rumah projek perumahan pangsapuri Andorra di Taman Sri Muda di sini untuk memiliki rumah sendiri berakhir.
Pembeli menerima kunci itu yang diserahkan sendiri Exco Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Peneroka Bandar, Iskandar Samad dalam satu majlis di sini.
Mereka bersyukur selepas projek itu yang terbengkalai sejak 2005 berjaya disiapkan oleh kontraktor penyelamat CH Renovations and Construction yang dilantik Kerajaan Negeri pada September 2012.
Pembeli, Khairuddin Ahmad, 46, gembira apabila menerima kunci rumah yang dinantikan oleh keluarganya sejak ia dibeli pada awal 2013.
Katanya, sejak projek itu didapati terbengkalai beliau terpaksa membayar ansuran pinjaman sebanyak RM400 sebulan selain menanggung sewa rumah lain sebanyak RM500 sebulan.
“Untuk membayar dua buah rumah memang membebankan, saya terpaksa membayar RM900 sebulan untuk rumah ini dan rumah sewa.
“Bayangkan dari anak saya berumur dua tahun, kini sudah tingkatan tiga. Kini kami sekeluarga berasa lega kerana masalah itu selesai,” katanya ketika ditemui.
Pembeli lain, Ooi Kam Yoke, 30, berkata beliau membeli rumah itu ketika masih bujang dengan hasrat untuk menghadiahkan kepada ibunya.
Namun, kerana menunggu terlalu lama, beliau mengambil keputusan untuk mencari perumahan lain untuk ibunya.
“Kini saya sudah berkahwin, nampaknya rumah ini, saya akan tinggal dengan suami saja,” katanya.
Sementara itu, Iskandar memaklumkan projek itu mula dimajukan pada 2003 dan dijangka siap pada Disember 2015, namun akibat kelewatan dan masalah kewangan, projek itu terbengkalai.
Katanya, sejak Mac 2008 hingga 31 Oktober 2013, Kerajaan Negeri berjaya menyelesaikan sebanyak 42 projek terbengkalai yang membabitkan 19,958 unit.
-EZY

No comments: