Tuesday, November 12, 2013

Tiada Tindakan? Walaupun SD Salah Laku Gani Patail Dikemukakan



Datuk Mat Zain Ibrahim mendedahkan tuduhan salah laku Tan Sri Abdul Gani Patail (gambar) selepas kerajaan gagal untuk bertindak terhadap akuan bersumpah (SD) bekas polis kanan itu yang mengandungi sejumlah aduan terhadap Peguam Negara.
Pendedahan awal Mat Zain baru-baru ini mengenai perjumpaan dengan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dan peguam Umno, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah berhubung salah laku Abul Gani hanya dua muka surat daripada 31 muka surat akuan bersumpahnya.
Bekas Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur itu berjanji akan melakukan lebih banyak pendedahan tidak lama lagi dan tidak menolak kemungkinan untuk mengemukakan SD di mahkamah.
“SD saya dibuat mengikut Akta Akuan Bersumpah 1960 dan ia boleh digunakan dalam mana-mana prosiding kehakiman, sama ada sivil atau jenayah. Dalam urusan itu, SD akan dikira sebagai dokumen awam.
“Kerajaan sudah menerima SD saya lebih sebulan lalu,tetapi mereka tidak bertindak terhadapnya. Mereka memilih untuk terus senyap,” katanya kepada The Malaysian Insider.
Salinan SD yang difailkan pada 7 Oktober itu dihantar kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak; Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Dr Ali Hamsa; Peguamcara Negara, Datuk Idris Harun dan Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar.
“Dalam surat iringan, saya memberitahu mereka saya mempunyai hak untuk mengambil apa sahaja tindakan yang sesuai dengan undang-undang tanpa perlu memberitahu sesiapa.
“Saya juga memberitahu yang saya ada hak untuk mendedahkan SD kepada umum melalui mana-mana ahli Parlimen.
“Tidak terdapat tindakan daripada mana-mana pihak dan sebab itu saya dedahkan sebahagian daripada SD itu,” katanya.
Beliau berkata, sebab utama SD dibuat adalah bagi meyakinkan perdana menteri untuk menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) menyiasat semua pertuduhan terhadap Peguam Negara yang dinyatakan dalam dokumen itu.
Sebahagian daripada SD itu dibincangkan dalam pertemuan di antara Dr Mahathir, Shafee, bekas pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersil, Datuk Ramli Yusoff;  bekas setiausaha politik Dr Mahathir, Matthias Chang dan Mat Zain di rumah bekas perdana menteri itu di Seri Kembangan pada 10 Ogos, hari ketiga sambutan Hari Raya Aidilfitri.
Perbincangan mereka menyentuh mengenai salah laku Abdul Gani bermula daripada insiden “mata lebam” pada 1998 melibatkan bekas timbalan perdana menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Mat Zain adalah pegawai penyiasat pada ketika itu memberitahu Dr Mahathir bahawa Abdul Gani, yang merupakan timbalan pendakwaraya kanan pada ketika itu memalsukan bukti untuk mencadangkan Anwar mencederakan dirinya sendiri.
Mereka juga berbincang mengenai salah laku lain Abdul Gani termasuk kekalahan Malaysia dalam kes Pulau Batu Puteh di Mahkamah Antarabangsa sehingga menyebabkan pulau itu diserahkan kepada Singapura di mana Abdul Gani mewakili Malaysia pada ketika itu.
Mat Zain memberitahu The Malaysian Insider bukan dirinya yang mencadangkan perjumpaan itu, tetapi beliau menerima panggilan daripada Ramli pada Hari Raya pertama yang memberitahunya Shafee mahu bertemu mereka.
“Saya jumpa Ramli pada 10 Ogos dan pergi ke rumah merangkap pejabat Shafee di Bukit Tunku di mana peguam itu memberitahu kami Tun M mahu berjumpa kami. Saya terkejut,” katanya.
Mat Zain berkata, pertemuan terakhirnya bersama Dr Mahathir adalah 15 tahun lalu apabila Dr Mahathir masih perdana menteri.
“Dengan Shafee, ini adalah pertemuan pertama saya dengannya,” kata Mat Zain.
Semalam, Shafee menafikan cadangan pertemuan di rumah Dr Mahathir merupakan plot untuk menggulingkan Abdul Gani.
Peguam Umno itu mengesahkan beliau turut berada di rumah Dr Mahathir, tetapi ianya bertujuan  menunjukkan rasa hormat kepada bekas perdana menteri itu semasa Hari Raya Aidilfitri.
Tentang konspirasi untuk menggulingkan Abdul Gani beliau mengatakan,“Tun sudah tentu tidak terlibat dengan perkara mengarut seperti ini.”
Shafee bagaimanapun, enggan mengulas lanjut sehingga beliau membaca SD itu dan memberitahu akan mengadakan sidang akhbar hari ini.
Shafee berkata, apa pun yang terdapat dalam SD itu, tidak wujud plot atau konspirasi terhadap Abdul Gani kerana tiada sebab untuk berbuat demikian.
"Tiada ada sebab untuk itu sama ada berhubung isu insiden mata lebam atau kes Pulau Batu Puteh.
“Jika anda melihat kes Batu Puteh, apa kena mengena dengan Mat Zain? Beliau bekas pegawai polis, bukan peguam antarabangsa. Mengapa perlu bincang isu ini dengannya,” katanya.
Dr Mahathir juga membuat keputusan untuk tidak mengulas isu itu sehinggalah beliau selesai membaca SD.
Dalam reaksi spontannya Mat Zain berkata: “Saya akui saya bukan peguam antarabangsa. Bukan juga seorang peguam. Tetapi anda tidak perlu menjadi seorang peguam atau mempunyai sijil kelayakan untuk menyatakan kebenaran.
 “Lebih banyak yang akan didedahkan,” katanya dan menambah beliau akan menunggu sehingga Shafee membuat kenyataan mengenai isu itu. – 12 November 2013.

TMI

No comments: