Saturday, November 30, 2013

Selangor Penyumbang Tertinggi Hasil Pertanian Negara

SHAH ALAM 30 NOV: Selangor berjaya mencatatkan nama sebagai negeri penyumbang tertinggi bagi hasil pertanian negara apabila mengeluarkan 42.7 peratus atau RM32 juta dari jumlah keseluruhan keluaran pertanian negara.
agro4Selain itu, pengeluaran padi di Selangor juga merupakan negeri pengeluar padi tertinggi apabila merekodkan hasil purata pengeluaran padi 6.15 tan setiap hektar berbanding pengeluaran padi Malaysia 4.49 tan setahun.
Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata kejayaan ini dicapai dari hasil usaha gigih para petani dengan kerjasama jabatan-jabatan berkaitan.
“Semua usaha dan kerjasama semua pihak adalah penting kerana Negeri Selangor sebenarnya mempunyai tanah yang terhad untuk pertanian.
“Namun begitu hasil yang tinggi dapat dicapai dengan setiap ruang kawasan tanah digunakan sepenuhnya dengan bantuan penggunaan teknologi dan inovasi pertanian terkini,” kata Abdul Khalid.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Pesta Agrofest Selangor 2013 di Bulatan Bazarena, Stadium Shah Alam di sini malam tadi.
agro2Kata beliau lagi, Kerajaan Negeri turut memperuntukkan sejumlah RM23.7 juta bagi pembangunan luar bandar dalam program pembangunan ekonomi nelayan dan penternak.
“Jika dillihat dari jumlah peruntukkan tersebut ia menunjukkan bahawa Kerajaan Negeri amat mengambil berat terhadap pembangunan sektor pertanian di Selangor,” kata beliau.
Dalam Majlis Perasmian Pesta Agrofest Selangor 2013 yang dijenamakan semula itu, Abdul Khalid turut menyampaikan hadiah kepada penerima anugerah petani, penternak dan nelayan Selangor 2013.
Pemenang bagi kategori usahawan ternakan, usahawan akuakultur, usahawan tanaman dan usahawan industri asas tani terbaik masing-masing membawa pulang hadiah wang tunai RM3,000 diikuti di tempat kedua dan ketiga dengan hadiah wang tunai masing-masing RM2,000 dan RM1,000.
Sementara itu Jawatankuasa Sungai Leman 2, Parit 9, Sungai Leman Sabak Bernam berjaya membawa pulang hadiah wang tunai RM50,000 apabila diumumkan sebagai pemenang kategori Pengurus Projek Peningkatan Padi Terbaik.
Manakala di tempat kedua, Jawatankuasa Parit 14,15 Peket 100, Sungai Besar, Sabak Bernam dengan membawa pulang RM30,000 diikuti ketiga Jawatankuasa Parit 5 Timur, Sungai Besar Sabak Bernam dengan memperolehi RM20,000.
agrofestPesta Agrofest Selangor 2013 yang diadakan kali ketiga sejak 2011 merupakan acara tahunan yang menghimpunkan gerai-gerai pameran hasil pertanian, penternakan, agrikultur, produk industri asas tani dan lain-lain yang mempunyai kaitan dengan pertanian.
Antara gerai yang dijangka bakal mencuri tumpuan dalam program yang berlangsung dari 29 November hingga 1 Disember itu termasuklah gerai pameran haiwan peliharaan dan ternakan seperti burung unta, lembu, kambing, ayam pelbagai baka, kucing, rakun, arnab dan lain-lain.
Sebelum itu, Exco Pertanian Selangor, Sallehen Mukhyi dalam ucapan alu-aluannya berkata pihak beliau mensasarkan jumlah jualan sebanyak RM1 juta dalam Agrofest Selangor 2013 yang bertemakan ‘Pertanian Tonggak Keusahawanan’ itu.

selangorkini

No comments: