Friday, November 8, 2013

OIC Menyeru Negara Islam Memutuskan Hubungan Diplomatik Dengan Negara Yang Iktiraf Keputusan Israel



KUALA LUMPUR - Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) mendesak negara-negara anggota memutuskan hubungan diplomatik dengan mana-mana negara yang mengiktiraf keputusan Israel menggabungkan Baitulmaqdis atau memindahkan kedutaan mereka ke Baitulmaqdis.

Dalam satu kenyataan, OIC berkata isu itu yang ditonjolkan oleh Setiausaha Agung badan itu Ekmeleddin Ihsanoglu, adalah antara resolusi yang akan dibincangkan di sesi ke-40 mesyuarat Majlis Menteri Luar OIC pada Disember di Conakry, Guinea.

Ihsanoglu juga berkata sesi khas mengenai Baitulmaqdis akan diadakan di luar mesyuarat itu, bertujuan merencana sebuah visi tentang bagaimana pertubuhan 57 negara anggota itu dapat bertindak di pelbagai peringkat bagi menyekat pencabulan Israel di Baitulmaqdis.

Beliau berkata terdapat perakuan untuk menyelaras usaha Islam di Majlis Hak Asasi Manusia bagi menyekat percubaan Israel menghapuskan perkara tujuh agenda Majlis itu untuk memeriksa situasi hak asasi manusia di Palestin dan wilayah Arab lain yang ditakluki Israel.

Dalam perkembangan lain, OIC berkata Ihsanoglu dan sebuah delegasi OIC peringkat menteri akan melawat Myanmar minggu depan berikutan resolusi Kumpulan Hubungan OIC tentang masyarakat minoriti Muslim Rohingya yang dibuat September lepas pada mesyuaratnya di luar Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) di New York.

Delegasi Kumpulan Hubungan OIC itu akan terdiri daripada Arab Saudi, Mesir, Djibouti, Turki, Malaysia, Bangladesh dan Indonesia.

Isu utama yang akan dibincangkan dengan kerajaan Myanmar ialah status Rohingya di Myanmar yang meliputi keperluan kemanusian, pelan penempatan semula, hak asasi manusia dan hak kewarganegaraan mereka. 

Berhubung perkembangan di Selatan Filipina, Ihsanoglu mengulangi komitmen OIC untuk terus menyediakan kemudahan bagi penerusan proses damai antara Kerajaan Filipina dengan Barisan Pembebasan Kebangsaan Moro (MNLF). - Bernama

No comments: