Monday, November 25, 2013

FAS Harus Bertanggungjawab Kerana Prestasi Pasukan Selangor Hambar


SHAH ALAM: Beberapa Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Selangor hari ini menyatakan kebimbangan prestasi sukan bola sepak Selangor semakin menurun setiap tahun.
Adun Sri Muda,  Shuhaimi Shafei berkata, kepimpinan Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) perlu ditukar supaya pemimpin baru boleh membawa satu dimensi baru masuk ke dalam persatuan itu.
“Jawatankuasa pengurusan perlu dirombak semula supaya orang yang jaga dan menguruskan badan sukan ini terdiri daripada golongan profesional dan berpengetahuan, ini perlu diberi perhatian,” katanya ketika sesi perbahasan Rang Undang-undang Enakmen Perbekalan negeri selangor (2014) di Dewan Undangan Negeri Selangor di sini hari ini.
Sementara itu, Adun Kampung Tunku Lau Weng San berkata, sejak tiga tahun kebelakangan ini pihaknya melihat prestasi kelab bola sepak Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS FC) lebih hebat daripada Selangor.
Katanya, tambahan bajet RM100,00 bagi pembangunan sukan di Selangor tidak mencukupi kerana acara sukan lain juga perlu diberi perhatian dan bukan hanya bola sepak sahaja.
“Kita terkilan. Perlawanan akhir Piala Malaysia 2013 antara Pahang dan Kelantan di Stadium Shah Alam memang sesuatu yang dibanggakan tetapi alangkah baiknya dalam perlawanan adalah Selangor dan bukannya Kelantan,” katanya.
Selangor digelar `Gergasi Merah’
FAS terletak di bawah seliaan Menteri Besar Incorporated (MBI), di mana Presidennya adalah Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dan Timbalan Presiden Datuk Mokhtar Ahmad.
Digelar ‘Gergasi Merah’, kali terakhir Selangor merangkul juara piala FA Malaysia adalah pada tahun 2009 dan Piala Malaysia pada tahun 2005.
Sementara itu, menganggap Selangor terkebelakang dari segi bayaran dan tajaan khususnya daripada MBI, Adun Seri Andalas  Xavier Jayakumar berkata, kerajaan negeri perlu meningkatkan perbelanjaan kepada FAS sekaligus mampu meningkatkan taraf pemain.
“Kerajaan negeri saya ingat kena bagi sedikit perhatian dan kajian yang teliti serta memberikan sedikit dana tambahan kepada FAS,” katanya.
Cadangan itu kemudian disokong Exco Sukan,Belia Dan Adat Resam Melayu Dr Ahmad Yunus Hairi yang mahu peruntukan untuk bola sepak dipertingkatkan kerana melihat Selangor mempunyai ramai bakat pelapis muda yang boleh meningkatkan taraf sukan negeri itu.
“Kita juga punya rancangan untuk menubuhkan akademi bola sepak Selangor dan pelbagai program bagi mencungkil bakat baru,” katanya.

FMT

No comments: