SHAH ALAM 15 NOV : Kira-kira 100 buah rumah di kawasan Sri Muda di sini dinaiki air ekoran hujan lebat sejak semalam.
Kawasan itu ialah Kampung Johan Setia, Bukit Naga, Seksyen 32, Taman Alam Indah, Jalan Kebun, Seri Nadi dan Taman Seri Wangi, Seksyen 36 dinaiki air sedalam 0.5 meter.
ADUN Sri Muda, Shuhaimi Shafiei, berkata kejadian itu berpunca daripada hujan lebat berpanjangan antara jam satu hingga lima pagi tadi.
Katanya, pihaknya sudah meminta Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) untuk membuat tinjauan sekiranya perlu sebarang pemindahan dilakukan.
“Kita juga sudah meminta Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) untuk menempatkan mesin pam untuk membantu menyedut air keluar dengan lebih cepat.
“Bagaimanapun, setakat ini, tiada sebarang pemindahan dilakukan berikutan air kembali surut,” katanya ketika dihubungi Selangor Kini.
Shuhaimi berkata disebabkan banjir yang sering berlaku di kawasannya menyebabkan penghuni rumah mula lelah kerana terpaksa membersihkan rumah.
Katanya, beliau meminta supaya Kerajaan Negeri mengambil tindakan segera dalam menyelesaikan perkara itu.
“Saya sudah membawa perkara ini banyak kali ke pengetahuan Kerajaan Negeri dan saya seru Kerajaan supaya menyediakan pelan jangka pendek bagi mengatasi masalah banjir ini.
“Isu banjir ini adalah isu lama sudah 13 tahun tetapi pemerintahan Pakatan Rakyat juga sudah enam tahun, jadi sepatutnya kita sudah dapat menyelesaikan perkara ini secara beransur,” katanya.
Shuhaimi meminta masalah itu diselesaikan segera ekoran tidak mahu rakyat beranggapan Kerajaan Negeri tidak prihatin.
Baru-baru ini, ekoran kejadian banjir kilat yang sering melanda di beberapa tempat di Klang, Kerajaan Selangor mengumumkan langkah segera bagi melaksanakan kerja-kerja tebatan banjir dan menaiktaraf sistem saliran bagi mengatasi masalah terbabit.
Projek untuk memastikan kesejahteraan penduduk Klang itu membabitkan dana sejumlah RM37 juta yang disediakan untuk lima projek utama di daerah itu.
Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, berkata jumlah itu meliputi peruntukan berjumlah RM12.4 juta dari Kerajaan Negeri yang disalurkan melalui Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Negeri Selangor, manakala selebihnya RM25.5 juta disediakan Kerajaan Pusat.
-EZY
Selangorkini
No comments:
Post a Comment