Monday, January 4, 2010

ADUN PKR ulangi penafian arah gereja dibakar
Salhan K Ahmad
Feb 3, 10
12:53pm
Kongsi 0
ADUN Selangor bagi kerusi Seri Muda, Selangor, Shuhaimi Syafiei mengulangi penafian yang beliau mengeluarkan arahan supaya gereja dibakar, berhubung penggunaan kalimah Allah.

Katanya, penafian ini dibuat memandangkan beliau masih menerima pertanyaan melalui SMS berkenaan arahan berkenaan.

"Saya tidak pernah keluarkan kenyataan seperti itu.

"Kekeliruan ini berlaku disebabkan orang yang memberi arahan supaya membakar gereja mempunyai nama yang sama dengan sama iaitu Suhaimi bin Syafie.

"Tetapi orangnya berbeza sepertimana yang dilaporkan dalam laman web malaysiakini.com," katanya.

Beliau merujuk satu laporan Malaysiakini bertarikh 12 Jan lalu mengenai individu yang melaungkan 'bakar gereja' dalam protes anjuran Anak-anak Muda Islam Selangor (Amis) di masjid negeri.

"Sehingga semalam pun saya masih menerima hingga lima SMS.

"Ada di antaranya daripada editor akhbar," kata ADUN PKR itu yang tidak menamakan individu tersebut.

"Bila editor akhbar pun masih lagi tanya saya, (maka) saya rasa saya perlu jelaskan," katanya lagi.

Tambahnya, individu yang terlibat dalam protes itu langsung tidak menyerupainya.

"Saya pun ada botak juga sikit, tapi tidaklah sampai macam itu," katanya sambil berseloroh.

"Mungkin orang itu namanya bukan Suhaimi pun," katanya lagi.

Shuhaimi (kanan) berkata beliau akan menyerahkan kepada siasatan polis untuk mengenalpasti individu berkenaan.

Katanya, tindakan lelaki itu jelas berbentuk provokasi untuk menimbulkan ketegangan antara agama di kalangan masyarakat.

"Laporan sudahpun dibuat berkenaan kejadian itu, jadi kita serahkan kepada siasatan polis.

"Harapan saya, dengan adanya penjelasan ini, ia dapat menamatkan terus spekulasi pembabitan saya dalam insiden membakar gereja," katanya lagi.

No comments: