PELABUHAN KLANG 6 DIS : DYMM Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah dukacita dengan isu keterlaluan dalam agama sehingga membunuh dan melakukan kezaliman terhadap sesama manusia seperti yang berlaku akhir-akhir ini.
Titah baginda, perkara terbabit timbul kerana adanya ajaran sesat seperti ajaran Syiah, Al-Arqam, Kadiani dan Tuhan Harun.
Baginda bertitah, keadaan itu menyeleweng daripada fahaman Islam yang kita amalkan mengikut sunnah Nabi Muhammad SAW.
“Beta berharap rakyat negeri ini jangan terpengaruh dengan janji manis pihak yang mahu menyesatkan umat Islam di Selangor ke arah yang tidak diredhai.
“Beta juga sudah menitahkan kepada mufti dan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) supaya dapat memberi penjelasan yang terperinci kepada rakyat berkenaan penyelewengan ajaran Syiah ini,” titah baginda ketika mencemar duli merasmikan Majlis Perasmian Masjid Kampung Raja Uda, di sini, hari ini.
Pada masa sama, baginda turut menitahkan pihak JAIS untuk membuat pengawalan yang terperinci terutama kepada sebarang ceramah agama di negeri itu.
“Ramai orang dari luar datang ke negeri ini bukan hanya mencari rezeki tetapi juga berdakwah dan mengajar perkembangan Islam, yang mana terdapat sebilangan mereka menyebarkan ajaran sesat.
“Oleh itu, bagi memastikan dakwah yang betul, mereka yang ingin berdakwah dan mengajar agama di Selangor, perlu mendapatkan tauliah daripada Majlis Agama Islam Selangor (MAIS),” titah baginda.
Selain itu, baginda turut melahirkan dukacita apabila terdapat segelintir golongan bijak pandai dan cendekiawan Melayu yang tidak segan silu mencaci dan menghina serta menjatuhkan martabat bangsa juga agama.
Pada majlis itu, hadirin menyaksikan perasmian Masjid Kampung Raja Uda yang dinaiktaraf dengan menelan kos RM7.6 juta dan mampu memuatkan 3500 jemaah dengan keluasan tanah 1.52 hektar.
Hadir mengiringi baginda, Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dan Timbalan Pengarah JAIS, Zaki Arsad.
-NFN-
No comments:
Post a Comment