Wednesday, December 18, 2013

Sebelum PRU-13 UMNO-BN Kempen Turunkan Harga TOL,Selepas PRU-13 Rakyat Kempen Turun Jalan Raya

Dalam kempen PRU13 lalu, Barisan Nasional (BN) berjanji akan mengurangkan kadar tol dalam bandar tetapi musuh politik dan penganalisis kini berkata parti pemerintah itu akan menyebabkan 13 lebuh raya  menyaksikan kadar yang lebih tinggi tahun depan.
Kadar tol dijadualkan berlaku ekoran kenaikan tarif elektrik di seluruh negara, dan peningkatan yang dicadangkan dalam cukai taksiran serta tambang pengangkutan awam di Lembah Klang yang menjadi tempat tinggal kepada kira-kira tiga juta rakyat Malaysia.
Ahli Parlimen Klang, Charles Santiago, berkata BN  mempermainkan pengundi sejak dari awal lagi, kerana mereka tahu kadar tol akan naik dan subsidi akan dipotong yang bakal menyebabkan kos sara hidup lebih tinggi.
"Rakyat Malaysia pada dasarnya sentiasa ditipu, kerajaan memilih untuk tidak jujur kepada rakyat dan kini mereka berada dalam situasi yang tidak baik," katanya ketika mengulas janji pengurangan tol yang dijaja secara aktif  oleh calon BN di Selangor dan Kuala Lumpur semasa kempen pilihan raya lalu.
Ahli Parlimen Serdang, Dr Ong Kian Ming, berkata kenaikan tol yang dicadangkan adalah satu cara untuk menghukum pengundi bandar kerana tidak menyokong parti pemerintah.
Menteri Wilayah Persekutuan Tengku Adnan Tengku Mansor, yang juga Setiausaha Agung BN, tidak mahu berdebat mengenai manifesto ini dan berjanji bahawa kadar tol dalam bandar akan dikurangkan.
"Tiada komen," katanya kepada The Malaysian Insider di Kuala Lumpur semalam apabila ditanya mengenai isu itu.
Pengkaji pendapat yang disegani, Pengarah Merdeka Centre, Ibrahim Suffian, berkata terdapat juga janji-janji lain yang dibuat melalui ucapan pemimpin BN yang sampai kini tidak dipenuhi.
Katanya,  adalah jelas bahawa Putrajaya bersedia untuk menghadapi rasa tidak puas hati orang awam terhadap kenaikan tol  untuk 13 lebuh raya yang menghubungkan Kuala Lumpur dan Selangor.
"Akhirnya, kerajaan perlu menangani defisit dan siling hutang dalam ekonomi supaya mereka bersedia untuk menghadapi rasa tidak puas hati orang ramai.
"Pilihan raya umum akan datang masih jauh dan mereka akan dapat meredakan keresahan ini menjelang PRU14 nanti," katanya kepada The Malaysian Insider.
Penganalisis politik, Khoo Kay Peng yang mempunyai pandangan berbeza berkata, gabungan faktor penarikan balik subsidi, kenaikan tarif elektrik dan kenaikan tol yang dicadangkan itu akan menyebabkan BN menghadapi rasa tidak puas hati pengundi, bermula dengan pilihan raya negeri Sarawak pada 2016.
"Di Sarawak, mereka juga menghadapi kenaikan tarif elektrik sebanyak 17%, dan pada masa sama, pendapatan mereka tidak meningkat.
"Ini menunjukkan perancangan yang tidak baik di pihak kerajaan dan akan menyebabkan kadar inflasi yang tinggi kerana semua peningkatan ini datang serentak, dengan GST menjadi aising pada kek," kata Khoo.
Ong berkata, Pakatan Rakyat akan memastikan orang ramai tidak lupa tindakan BN yang melupakan janjinya ini.
"Pakatan Rakyat akan memastikan orang ingat perkara ini kerana peningkatan kos sara hidup akan membebankan rakyat untuk masa lama, memandangkan kenaikan tarif elektrik, kos pengangkutan dan harga gula yang datang serentak," katanya dan menambah bahawa apabila GST dilaksanakan pada April 2015, kos lebih banyak barangan dan perkhidmatan akan naik.
Kerajaan mengurangkan subsidi minyak pada September, mengumumkan penghapusan subsidi gula di bawah Bajet 2014 dan baru-baru ini mengumumkan kenaikan tarif elektrik yang akan berkuatkuasa bulan depan.
Pengumuman ini menyebabkan penurunan nilai kredit Malaysia pada Julai oleh Fitch Ratings.
Ong berkata, pembangkang tahu bahawa semua janji yang dibuat oleh BN sebelum pemilihan 5 Mei lalu tidak akan dipenuhi.
"Ini (pengurangan kadar tol antara bandar) hanya salah satu daripadanya dan kita sudah tahu dari awal lagi.
"Ini adalah sebabnya mengapa pembangkang berjaya mendapat undi bandar, dengan mengatakan bahawa kita akan menghapuskan bayaran tol, tetapi mereka berjanji untuk mengurangkannya dalam masa lima tahun," katanya.
Pengarah strategi PKR, Rafizi Ramli bersetuju bahawa kadar tol boleh turun dan bukannya naik.
Beliau berkata, ini boleh dilakukan oleh kerajaan melalui rundingan semula perjanjian dengan syarikat konsesi tol, yang beliau dakwa adalah agensi yang berkaitan.
Beliau berkata, peningkatan besar jumlah kenderaan di lebuh raya juga meningkatkan keuntungan pengendali tol.
Santiago, bagaimanapun berpendapat rakyat Malaysia akan lupa janji BN.
"Bila rakyat negara ini ingat?
"Kerajaan tidak bodoh, yang mereka lakukan sekarang adalah supaya dalam tiga tahun akan datang apabila pilihan raya sudah dekat, mereka akan membuat lebih banyak janji dan orang ramai akan lupa tentang ini," katanya.
Ibrahim juga bersetuju dan berkata, janji yang tidak ditunaikan pada kadar tol tidak akan menjejaskan bank undi BN kerana akan ada pengundi baru yang percaya janji kerajaan yang dibuat dalam pilihan raya akan datang.
"Dalam setiap pilihan raya umum, ada di antara 20% dan 25% pengundi baru yang belum mendaftar tetapi akan menyertai senarai daftar pemilih dalam empat tahun akan datang.
"Mereka tidak akan tahu atau ingat isu ini," kata Ibrahim.
Kenaikan tol yang dicadangkan ini dijangka berlaku tahun depan bagi mematuhi perjanjian di antara kerajaan persekutuan dan syarikat konsesi lebuh raya.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri,Datuk Seri Abdul Wahid Omar, berkata kenaikan itu tidak dapat dielakkan, kerana ia dinyatakan  dalam perjanjian konsesi antara Putrajaya dengan syarikat-syarikat konsesi lebuh raya.
Beliau berkata, bahawa kadar tol itu sepatutnya disemak semula pada 2011, seperti yang dinyatakan dalam perjanjian konsesi, tetapi ia dikekalkan dan Putrajaya terpaksa menanggung kos RM400 juta untuk membayar pampasan kepada syarikat-syarikat ini dengan menggunakan wang pembayar cukai.
Kenaikan kadar tol dicadangkan selepas pengumuman kadar pengangkutan, peningkatan 15% dalam tarif elektrik dan kadar taksiran yang lebih tinggi untuk hartanah di Kuala Lumpur. - 18 Disember 2013

TMI

No comments: