Friday, December 13, 2013

REFORMASI Wajib Terhadap Malaysia Yang Dikatakan Juara Korupsi


KUALA LUMPUR - Prestasi cemerlang Malaysia sebagai juara korupsi dunia diwajarkan dengan RM173.84 bilion (USD54.18 bilion) aliran keluar wang haram pada 2011, keempat paling teruk di dunia, kata Lim Guan Eng.

Menurut Setiausaha Agung DAP itu, bagi tahun tersebut, kedudukan Malaysia berada di belakang Rusia (USD191.14 bilion), China (USD151.35 bilion) dan India (USD84.94 bilion).

Katanya, menurut laporan pemerhati kewangan berpusat di Washington, Global Financial Integriti, walaupun populasi Malaysia kecil, ia memiliki aliran keluar wang haram yang lebih tinggi berbanding negara dengan populasi lebih besar di dunia antara tahun 2002-2011 dengan jumlah USD370.38 bilion.

“Jenayah, rasuah dan pengelakan cukai telah dikenalpasti sebagai penyumbang utama,” ujarnya dalam satu kenyataan.
Tambahnya, dengan jumlah kerugian besar sebanyak RM1.2 trilion atau USD370.38 bilion dalam bentuk wang haram antara tahun 2002-2011, jelas sekali bahawa jumlah kerugian daripada wang haram ini adalah lebih besar daripada KDNK Malaysia untuk tahun ini mahupun tahun hadapan.

Menurutnya lagi, setiap negara di kedudukan 10 tertinggi dalam senarai terbabit mempunyai bilangan jumlah penduduk yang lebih ramai berbanding Malaysia.

Tambahnya, tidak dapat dinafikan bahawa secara perkapita, Malaysia muncul juara dunia dalam gejala rasuah dan mengesahkan gelaran yang diberikan Transparency International dan Wall Street Journal dalam jangka setahun yang lalu.

Justeru, ujarnya Kerajaan Barisan Nasional mesti mengambil tindakan ke atas penganugerahan gelaran yang begitu memalukan kepada negara ini dengan mengambil tindakan terhadap mereka yang bertanggungjawab di atas skandal-skandal kewangan seperti skandal saham Bimputera bernilai RM52 bilion, di mana orang Melayu biasa terlepas peluang mendapatkan saham-saham ini yang barang kali ghaib ke tangan-tangan pemimpin BN.

Selain itu, katanya skandal RM14 bilion Port Klang Free Trade Zone serta pendedahan saban tahun pihak Ketua Audit Negara tentang kegagalan mengurus kewangan (yang melibatkan dana berjumlah RM6.5 bilion dalam tahun 2012).

“Sehingga ke hari ini, tidak ada seorang pun yang menerima sebarang hukuman,” katanya yang juga Ketua Menteri Pulau Pinang.

Baginya, jelas sekali Bank Negara Malaysia (BNM) tidak efektif dan tidak cekap; malah langsung tidak bertanggungjawab dan lalai dalam menghentikan pengaliran keluar wang haram ini, walaupun telah mewujudkan jawatankuasa bertindak pada tahun 2010 untuk melaksanakan langkah-langkah bagi menghentikan aliran keluar wang haram.

Barangkali, katanya Malaysia harus mencontohi model British yang mewujudkan pendaftaran awam berpusat bagi maklumat pemilikan berfaedah korporat bagi menghentikan aliran wang haram.  

- TMI


No comments: