Tuesday, December 31, 2013

GST: Jika Peniaga Ditekan Maka Rakyat Tertekan


PETALING JAYA 30 DIS: Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Ahmad Maslan diingatkan supaya tidak mengelirukan rakyat dengan dakwaan perlaksanaan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) akan menyebabkan harga barangan dan perkhidmatan menjadi lebih rendah.
Sebaliknya, pengeluar dan peniaga terpaksa mengambil langkah mengurangkan tenaga pekerja jika berhasrat mengekang kenaikan harga barangan apabila GST dilaksanakan nanti.
Langkah itu terpaksa diambil bertujuan mengurangkan kos bagi mengimbangi pertambahan pelbagai kos perniagaan seperti petrol, elektrik, bahan mentah lain dan GST yang dikenakan terhadap mereka.
Pengarah Startegi Parti Keadilan Rakyat (PKR), Rafizi Ramli, berkata peniaga yang tidak menaikan harga barangan atau perkhidmatan tetapi pada masa sama terpaksa menampung peningkatan kos akan menyebabkan mereka kerugian dan menutup perniagaan.
“Apabila GST dilaksanakan, harga barang akan meningkat secara keseluruhannya. Ini bermakna kos yang ditanggung peniaga sama ada kos bahan mentah atau kos perniagaan lain juga akan meningkat dan mengurangkan keuntungan.
“Dalam keadaan ini, peniaga tidak ada pilihan lain kecuali menaikan harga untuk memastikan keuntungan tetap sama apabila GST diperkenalkan atau mengurangkan tenaga kerja,” katanya dalam satu sidang media di Ibu Pejabat PKR, di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, Rafizi yang juga Ahli Parlimen Pandan menjelaskan, walaupun peniaga boleh menuntut kembali cukai GST yang dibayar ke atas pembelian dan kos perniagaan tetapi disebabkan kenaikan harga secara menyeluruh itu tidak mencukupi untuk menampung kenaikan kos perniagaan mereka.
“Ini berpunca daripada pemahaman beliau (Ahmad) kononnya apabila peniaga mengenakan GST, mereka boleh mendapatkan kembali cukai GST yang dibayar ke atas pembelian dan kos perniagaan melalui cukai input,” katanya.
Rafizi berkata, Ahmad tidak mengambil kira bahawa peniaga akan membayar harga barang mentah dan kos perniagaan lain yang lebih tinggi ekoran GST dan peningkatan kos pengeluaran yang dikenakan semua pembekal mereka.
-NFN-

No comments: