Tuesday, December 3, 2013

Kenaikkan Cukai Taksiran Melambung & Membebankan Rakyat - DSAI


AMPANG 2 DIS: Pakatan Rakyat membantah kenaikan cukai taksiran terlalu tinggi dan membebankan rakyat, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Tegas Ketua Umum KEADILAN itu, kenaikan yang bakal dilaksanakan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) tidak munasabah dan satu lagi pembaziran kerajaan.
“Kita bantah kenaikan cukai tak munasabah, terlalu tinggi. Kita tolak cukai yang membebankan rakyat. Kerajaan membazir, beban kepada rakyat,” katanya kepada Keadilan Daily.
Beliau ditemui pada Ceramah Perdana dan Penerangan GST (Cukai Barangan dan Perkhidmatan) selepas merasmikan Ekspo Industri Kecil dan Sederhana (IKS) peringkat Parlimen Ampang dan Pandan di Padang Taman Tasek Tambahan, Ampang, malam tadi.
Mengulas lanjut, Anwar menyeru penduduk KL menyertai himpunan membantah kenaikan cukai tersebut pada 16 Disember ini.
“Kita seru warga kota supaya bantah dan kita bantah apa yang perlu dibuat seperti yang diputuskan oleh pimpinan (Pakatan),” katanya menyokong himpunan di Dataran DBKL pada 11 pagi.
Terdahulu, Ahli Parlimen Pakatan Rakyat Wilayah Persekutuan KL membantah keras kenaikan cukai berkenaan dan untuk itu mereka bersama warga kota sepakat mahu berhimpun bagi menyatakan bantahan.
Menurut Ahli Parlimen Batu, Tian Chua, dalam perhimpunan tersebut, setiap penduduk akan menghantar surat bantahan kenaikan secara beramai-ramai kepada DBKL.
Oleh itu, beliau menggesa penduduk KL supaya menghantar bantahan itu pada hari berkenaan dan menjangka sekurang-kurangnya 1,000 hingga 2,000 akan terlibat dalam himpunan tersebut.
DBKL pada 18 November lalu mengedarkan notis menyemak semula senarai nilaian cukai taksiran kepada pemilik rumah dan premis
di KL, dan kadar kenaikan cukai taksiran yang bakal dilaksana bermula 2014 dianggarkan lebih 100 peratus.
Hadir sama dan turut menyampaikan ceramah yang dihadiri kira-kira 700 penduduk, Ahli Parlimen Ampang dan Ahli Parlimen Pandan, Zuraida Kamaruddin dan Rafizi Ramli.
Selain gerai-gerai jualan produk tempatan, antara program menarik pada ekspo yang bermula semalam dan berakhir pada 8 Disember meliputi seni kebudayaan pelbagai kaum, sukaneka kanak-kanak, aktiviti sukan dewasa dan penerangan pinjaman IKS.


KD

No comments: