Thursday, December 5, 2013

Selangor Menghulurkan Bantuan RM50 Ribu Kepada Mangsa Banjir Pahang


Selangor mengumumkan bantuan segera RM50,000 kepada mangsa bencana banjir yang melanda di beberapa kawasan di Pahang di samping mengkaji bantuan untuk mangsa di Terengganu dan Johor.
Exco Kebajikan dan Hal Ehwal Wanita, Rodziah Ismail, berkata bantuan itu bertujuan meringankan beban ditanggung ribuan mangsa yang terbabit dalam kejadian banjir sejak dua hari lalu.
“Bantuan yang kita berikan adalah dalam bentuk barangan, makanan dan peralatan sewaktu berada di pusat pemindahan banjir serta beberapa keperluan lain seperti peralatan sembahyang,” katanya seperti dilaporkan Selangorkini.
Rodziah ditemui pemberita ketika menghadiri Majlis Perhimpunan Penghulu, Ketua Kampung serta Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) di Dewan Jubli Perak, Shah Alam.
Beliau berkata, kerajaan negeri juga bercadang memberikan bantuan kepada mangsa banjir yang berlaku di negeri lain seperti Johor dan Terengganu pada masa terdekat.
“Kita juga menerima maklumat bahawa banjir di Pahang yang bermula di Kuantan sudah menjangkau ke Rompin dan keadaan lebih teruk di Johor serta Kemaman, Terengganu.  Di bawah misi bantuan Selangor, kerajaan negeri mungkin akan membantu mereka,” katanya.
Sebelum ini, kerajaan negeri menyalurkan dana bantuan RM100,000 kepada mangsa bencana ribut taufan di Haiyan, Filipina serta RM50,000 kepada mangsa bencana dan kemusnahan di Lembah Bertam, Cameron Highlands.
Pada masa sama, Rodziah berkata, bantuan daripada pelbagai pihak seperti anak syarikat kerajaan negeri serta kilang di Selangor turut diharapkan bagi meringankan beban ditanggung mangsa bencana berkenaan.
“Kita sudah menulis surat kepada pihak berkenaan dan setakat ini, maklum balas yang diberikan positif untuk membantu mangsa banjir di Pahang,” katanya. – 5 Disember, 2013.

TMI

No comments: