KLANG 11 DIS : DYMM Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah mahu rakyat Selangor memainkan peranan untuk mengekalkan kemajuan negeri dan tidak menimbulkan syak wasangka serta menghormati amalan kebebasan agama.
Baginda bertitah, rakyat dilarang menyentuh perkara sensitif sehingga menyebabkan perasaan marah atau berlaku sesuatu perkara yang tidak diingini.
“Mereka yang bijak pandai dan cendekiawan harus memahami dan mengerti akan perkara sensitiviti yang mencurigakan. Selain itu, mereka juga perlu mengelakkan daripada membuat pernyataan yang boleh mengguris rakyat Selangor hingga mengeruhkan keadaan harmoni,” titah baginda.
Sultan Sharafuddin bertitah demikian pada Majlis Jamuan Teh Bersama Rakyat sempena hari keputeraan baginda yang ke-68 di Padang Mahkota, Istana Alam Shah, di sini, hari ini.
Turut meraikan baginda ialah pembesar negeri, pimpinan kerajaan negeri diketuai Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, barisan ahli Exco Selangor, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) serta pegawai kerajaan dan rakyat jelata.
Baginda bertitah, Selangor menjadi negeri termaju di Malaysia hasil keamanan yang selama ini dipertahankan.
“Beta menyeru supaya rakyat di Selangor mengambil kesempatan ini untuk terus mencapai dan meningkatkan lagi serta meneroka perkara yang lebih tinggi supaya terus menjadi maju dan terunggul di Malaysia,” titah baginda.
Pada masa sama, rakyat di Selangor diseru supaya bekerjasama dengan polis untuk membanteras jenayah di negeri itu.
Baginda bertitah, polis bekerja keras dalam membanteras jenayah di Selangor dan bertungkus lumus memastikan negeri itu mengekalkan keamanan.
“Beta menyeru rakyat Selangor supaya membantu dan bekerjasama dengan polis untuk membanteras jenayah di negeri ini,” titah baginda.
-NFN- FZL
selangorkini
No comments:
Post a Comment