Thursday, December 19, 2013

Kecurian Pasir,Rakyat Digalakkan Bekerjasama Membuat Laporan


SHAH ALAM, 18 DIS: Orang ramai digalakkan segera membuat laporan kepada Kerajaan Negeri sekiranya mendapati berlaku kejadian curi pasir di kawasan mereka.
Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, berkata ia bagi memastikan insiden sama tidak berulang lagi kerana tindakan tidak bertanggungjawab itu akan memberi keuntungan berlipat ganda kepada sindiket terbabit.
Beliau turut menyokong usaha Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam usaha membanteras dan menyiasat kegiatan ini.
“SPRM bersama pejabat tanah mengambil inisiatif untuk menangkap dan membawa pesalah ini ke mahkamah atas kesalahan (curi pasir) yang dilakukan.
“Kerajaan Negeri menyokong usaha tersebut dan menggalakkan rakyat untuk membuat laporan sekiranya berlaku kecurian pasir di kawasan mereka,” katanya berhubung kejadian curi pasir di Sungai Long, Hulu Langat dan ladang kelapa sawit di Bandar Sunway Semenyih, baru-baru ini.
Kegiatan itu didakwa berlarutan sejak dua tahun lalu di mana sindiket terlibat dikatakan mampu mengaut keuntungan sehingga RM12 juta.
Sementara itu, ketika mengulas mengenai perlantikan Ahli Majlis di Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) untuk sesi 2014, Abdul Khalid berkata senarai nama yang dipilih akan diumumkan pada Januari depan.
“Pada bulan depan kita akan umumkan senarai nama yang akan dilantik sebagai Ahli Majlis yang akan memulakan tugas pada Februari 2014,” katanya.
-EZY

No comments: