Tuesday, December 10, 2013

Reformasi Sistem Pendidikan Harus Dilaksana Berikutan Laporan PISA Yang Membimbangkan


Sistem pendidikan Malaysia kini berada di paras bahaya dan menunjukkan tanda amaran menyebabkan pemimpin pembangkang dan kumpulan tindakan menggesa langkah drastik diambil bagi menyelesaikan situasi itu, termasuk mendesak penubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) untuk memeriksa di mana silapnya.
Kerja baik pulih perlu dilakukan dalam sistem pendidikan sekarang berikutan pencapaian yang teruk, sehingga mendorong penggubal undang-undang dari Sarawak mendesak penubuhan RCI terutama apabila Malaysia hanya berjaya berada di kedudukan ke-55 daripada 65 negara dalam ranking keputusan Program Penilaian Antarabangsa Pelajar (PISA).
Pencapaian Malaysia dalam penilaian terhadap pelajar 15 tahun menggunakan ujian matematik, membaca dan sains itu dikritik oleh beberapa pemimpin pembangkang yang menggesa sistem pendidikan negara diperbaharui selain mempersoalkan “sistem pendidikan terbaik di dunia” yang dibawa Menteri Pendidikan, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Penasihat DAP, Lim Kit Siang, berkata walaupun Malaysia mempunyai dua menteri pendidikan, standard pendidikan negara di peringkat antarabangsa terus turun.
“Nampaknya, pemimpin Umno dan perwakilan hanya berminat dengan mempolitikkan pendidikan berbanding memastikan pelajar Malaysia mendapat pendidikan terbaik di dunia.
“Dengan penurunan standard pendidikan yang berterusan, rakyat perlu diyakinkan bahawa Pelan Pembangunan Pendidikan 2013-2025 berobjektif untuk meletakkan Malaysia di tempat tertinggi, satu pertiga daripada negara yang menyertai kajian PISA menjelang 2021,” kata Lim.
Pengarah Pendidikan DAP, Zairil Khir Johari sebelum ini berkata, di sebalik peruntukan besar setiap tahun kepada Kementerian Pendidikan, pencapaian pelajar di dalam kajian pendidikan global masih teruk, dan keadaan itu “memalukan”.
Dalam Bajet 2014, Kementerian Pendidikan menerima peruntukan RM54 bilion atau 21% daripada jumlah perbelanjaan keseluruhan negara, menjadikan ia kementerian terbesar dalam aspek penerimaan dana.
Ketua DAP Sarawak, Chong Chieng Jen menggesa RCI ditubuhkan untuk melihat masalah dalam sistem pendidikan negara susulan daripada pendedahan keputusan PISA.
PISA adalah sebuah program penarafan mutu pendidikan di sekolah yang dikendalikan oleh OECD (Organisation for Economic Corporation and Development) bagi pelajar 15 tahun yang melibatkan negara dari seluruh dunia.
Ia menguji kemampuan dan penguasaan pelajar dalam tiga bidang utama iaitu membaca, matematik dan sains.
PISA menjadi piawaian antarabangsa yang digunakan untuk menilai keberkesanan dan mutu sistem pendidikan sekolah di dunia.
Purata min skor ialah 494 dan kajian itu menguji 510,000 pelajar tahun lalu merangkumi tiga bahagian peperiksaan – matematik, sains dan keupayaan membaca. Malaysia memperolehi min skor 421.
Pelajar Malaysia dikatakan mendapat pencapaian yang teruk dalam bahagian membaca dengan skor 398 (purata:496), bahagian matematik, Malaysia mendapat 421 (purata:494) dan sains, 420 (purata:501).
Malah, Vietnam berada di tangga ke-17 dalam kajian itu dengan markah 511 manakala Shanghai-China mendapat 613 untuk mendapat tempat pertama dalam ranking itu.
Menggambarkan penurunan dalam sistem pendidikan itu sebagai “amaran merah”, Ahli Parlimen Kuching itu berkata, agak membingungkan apabila pelajar di Malaysia mendapat pencapaian seteruk itu tetapi jumlah pelajar yang memperolehi A dalam peperiksaan utama dalam negara meningkat setiap tahun.
“Mereka mungkin cemerlang bagi peperiksaan dalam negara, tetapi mereka tidak akan mampu bersaing di pentas global,” kata Chong.
Pengerusi Kumpulan Tindakan Ibu Bapa untuk Pendidikan Malaysia (PAGE), Datin Noor Azimah Abdul Rahim, berkata pencapaian teruk dalam penilaian PISA tidak mengejutkan.
Katanya kepada The Malaysian Insider:”Kerajaan tidak pernah cuba untuk meningkatkan rangking itu.”
“PAGE tidak menjangkakan kita dapat keputusan lebih baik. Alasan mudah ialah kerana apa yang diajar di sekolah berbeza daripada apa yang PISA mahukan,” katanya.
Noor Azimah berkata, kualiti guru juga perlu dipertingkat sebelum keputusan positif dapat diperolehi.
“Kualiti pelajar dan sistem pendidikan tidak boleh meningkat jika guru tidak berkualiti. Secara ringkasnya, output tidak boleh jadi lebih baik daripada input.
“Sehingga masalah ini diselesaikan, kita tidak akan dalam melakukannya dengan lebih baik dan kita akan hanya bergelumang dengan keputusan corot,” katanya.
Noor Azimah mendedahkan bahawa baru-baru ini PAGE dimaklumkan sekolah di Malaysia diberikan pilihan untuk menjawab kertas peperiksaan PISA sama ada dalam Bahasa Malaysia atau Inggeris.
“Mereka mendapati sekolah yang menjawab dalam Bahasa Inggeris mendapat keputusan lebih baik daripada sekolah yang menjawab dalam Bahasa Malaysia,” katanya dan turut menggesa Kementerian Pendidikan mendedahkan pencapaian Malaysia dalam PISA secara terperinci.
“Keadaan itu sangat memihak kepada kita berhubung dengan PPSMI. Adakah pelajar kita lebih berkemampuan untuk membuat peperiksaan itu dengan lebih baik dalam Bahasa Inggeris berbanding Bahasa Malaysia,” katanya.
Presiden Gabungan Persatuan Ibu Bapa dan Guru Kebangsaan, Mohd Ali Hassan, berkata keputusan dalam kajian PISA itu adalah seperti tersedar daripada kealpaan.
“Ini adalah masa yang amat penting dan perlu melakukan sesuatu.
“Kita perlu pengubahsuaian secara keseluruhan terhadap kurikulum dan kaedah pengajaran serta memberi lebih fokus kepada latihan amali berbanding teori,” katanya.
Mohd Ali turut mendesak supaya kualiti guru diperbaiki dengan latihan yang lebih baik.
“Guru perlu didedahkan kepada latihan semula, kaedah pengajaran yang baru untuk membolehkan mereka sentiasa mengemaskini kebolehan masing-masing dan menghasilkan pelajar lebih baik,” katanya.
Beliau berkata, pertandingan sihat dengan sekolah daripada negara lain yang dianggap pakar dalam beberapa bidang terutama sains dan matematik perlu diberi sokongan.
“Itu boleh dijadikan sebagai penanda aras pelajar dan mereka akan dapat belajar banyak perkara daripada pelajar lain,” katanya.
Sementara itu, Chong meletakkan kesalahan penurunan tahap pendidikan kepada kerajaan kerana sistem pendidikan di Malaysia sering dipolitikkan.
“Selama lebih 50 tahun, elemen dan pertimbangan politik selalu memainkan peranan penting dalam polisi pendidikan negara.
“Kerajaan Persekutuan menggunakan pendidikan untuk mempropagandakan agenda politik Barisan Nasional,” katanya dan menggesa Putrajaya berhenti menggunakan politik dalam polisi  pendidikan.
Beliau berkata, pemansuhan sekolah mubaligh, pemansuhan pengajaran Sains dan Matematik dan Bahasa Inggeris dan cadangan meningkatkan waktu mengajar untuk Bahasa Malaysia adalah polisi yang lebih berpihak kepada kaum Melayu.
Chong turut menyelar Muhyiddin berikutan menteri itu mendakwa Malaysia mempunyai “sistem pendidikan terbaik di dunia sehingga dapat mengatasi sistem Britain dan Amerika Syarikat”.
“Kajian PISA menunjukkan sebaliknya. Apabila kita keluar dari Malaysia, sangat jelas kita ketinggalan di belakang negara lain,” katanya dan mendakwa ramai ibu bapa di negara ini tidak yakin dengan sistem pendidikan Malaysia.
Lim turut menuduh Muhyiddin “sengaja mengelak isu PISA 2012 seperti ia satu wabak”.
“Biar dia terus meyakinkan ibu bapa di Malaysia bahawa dia tidak “membina istana di awangan” dan menunjukkan pelan kukuh yang dia ada untuk pelajar 15 tahun kita menjadi terbaik di antara satu pertiga daripada negara menyertai kajian PISA 2021,” kata Lim. – 10 Disember, 2013.

TMI

No comments: