Monday, December 16, 2013

Penubuhan JKKKP UMNO-BN Adalah Pembaziran - YB Shuhaimi Shafiei


SHAH ALAM, 14 DIS : Penubuhan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Pusat (JKKKP) membuktikan satu lagi pembaziran Umno-BN di Selangor dan jelas bertentangan dengan Undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri.
Adun Sri Muda, Shuhaimi Shafiei, berkata peraturan sedia ada menegaskan bahawa penubuhan JKKK di sesebuah kawasan atau daerah untuk membantu penduduk kampung adalah termaktub di bawah bidang kuasa Kerajaan Negeri.
Katanya peranan JKKKP bukan sahaja tidak diiktiraf, malah ia antara punca yang akan menyebabkan berlakunya pecah belah di kalangan masyarakat setempat.
“Perkara ini bertentangan dengan peraturan sedia ada dan menunjukkan keegoan Umno-BN untuk mengiktiraf bidang kuasa Kerajaan Negeri di Selangor.
“Mereka (Umno-BN) harus menghormati keputusan ini dan bekerjasama dengan kerajaan negeri supaya tidak berlaku kekeliruan di kalangan masyarakat,” katanya ketika dihubungi Selangor Kini.
BN Selangor bertindak menubuhkan JKKKP sendiri selepas parti itu kalah kepada Pakatan Rakyat dalam Pilihan Raya Umum pada 2008.
Umno bahagian bertanggungjawab melantik JKKKP berkenaan dengan bayaran bulanan RM800 yang dibuat oleh Kementerian Luar Bandar.
Bagaimanapun, lantikan itu tidak diiktiraf kerajaan Selangor.
Sehubungan itu Shuhaimi mencabar Kerajaan Pusat supaya memansuhkan JKKKP dengan segera kerana mendakwa ia tidak mendatangkan sebarang faedah kepada rakyat.
Malah katanya ia secara tidak langsung menunjukkan rasa tidak hormat Umno-BN terhadap konsep semangat federalisme yang termaktub dalam perlembagaan negara.
“Saya cabar Umno-BN hentikan perkara ini dengan segera. Belajarlah hormati keputusan rakyat,” katanya lagi.
-EZY

selangorku

No comments: