Loading...

Tuesday, December 31, 2013

Pendekatan Kerajaan Negeri Untuk 2014 Lebih Mesra Rakyat Berbanding Seteru


Menteri Besar Selangor Tan Sri Khalid Ibrahim berkata kerajaan negeri akan menyediakan perkhidmatan bas percuma, mengekalkan cukai premis kediaman selain menyediakan rumah mampu milik dan menambah peruntukan beberapa program dan skim yang sedia ada, dalam agenda Merakyatkan Ekonomi Selangor (MES) bagi menghadapi tahun 2014.
Beliau berkata, biarpun Selangor mempunyai kuasa terhad dalam menentukan harga barangan keperluan dan perkhidmatan, itu tidak bermakna kerajaan negeri hanya membiarkan keluhan rakyat mengenai kenaikan harga barang dan perkhidmatan oleh kerajaan Barisan Nasional (BN).
Tambahnya, peluang sama rata juga diberikan kepada seluruh rakyat yang menetap di Selangor bagi menikmati hasil negeri tanpa mengambil kira keturunan atau kedudukan .
"Saya memberi jaminan bahawa sejak Pakatan Rakyat menerajui kerajaan Negeri Selangor pada Mac 2008, kita tidak mengamalkan fahaman populis, sosialis dan sebagainya.
"Sebaliknya program-program kebajikan dalam dasar Merakyatkan Ekonomi Selangor adalah berterusan dan diterima baik oleh majoriti rakyat negeri ini," kata Khalid dalam satu kenyataan sempena Tahun Baru.
Selain itu, Khalid berkata kerajaan Selangor memahami bebanan rakyatnya yang khuatir kenaikan barang dan perkhidmatan seperti tol dan kadar elektrik boleh menyebabkan harga kediaman rumah mampu milik menjadi mahal.
Katanya lagi, di atas kepercayaan rakyat yang memilih PR pada pilihan raya lalu, telah mendorong kerajaan negeri meneruskan kecemerlangan apabila dalam Belanjawan Negeri Selangor 2014, sebanyak RM2.28 bilion diperuntukkan bagi pembangunan negeri dan rakyatnnya.
Menurut Khalid, rakyat Selangor bakal menyaksikan kerajaan negeri menyediakan beberapa langkah mengurangkan beban rakyat.
"Lebih dari itu kerajaan negeri juga mahu keupayaan rakyat ditingkatkan bukan sekadar menerima pelbagai bantuan kebajikan, antaranya menerusi pembangunan desa yang dijangka dilaksanakan di kesemua daerah Selangor pada tahun depan," katanya.
Beliau pada masa turut menegur rakyatnya untuk menghormati kebebasan hak beragama seperti titah Sultan Selangor Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah.
"Demi keharmonian yang berkekalan, saya percaya rakyat berbilang kaum dan agama serta budaya di Selangor sedia mengambil maklum akan titah Sultan Selangor Duli Yang Maha Mulia Sultan Sharafuddin Idris Shah.
"Setiap rakyat perlulah menghormati kebebasan beragama dan tidak menyentuh perkara-perkara sensitif yang boleh mengundang perasaan marah atau berlakunya perkara tidak diingini," katanya. - 31 Disember, 2013.

selangorkini

No comments: