Thursday, December 5, 2013

Kerajaan Pakatan Rakyat Selangor Memperuntukkan RM100 Juta Untuk Pembangunan Desa,Belia & Sukan


SHAH ALAM 5 DIS : Kerajaan Selangor akan membelanjakan RM100 juta wang rizab yang dimiliki bagi tujuan pembangunan desa, belia dan usahawan.
Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, berkata peruntukan itu akan disalurkan kepada projek yang dianggap mempunyai pontesi memberi keuntungan kepada masyarakat desa di Selangor.
“RM100 juta ini adalah peruntukan pembangunan desa yang digunakan daripada duit rizab negeri seperti yang kita umumkan di Dewan Negeri Selangor (DNS) iaitu RM50 juta untuk pembangunan desa, RM50 juta lagi untuk pembangunan belia dan usahawan.
“Bagi mencapai matlamat itu, kita berjumpa dengan Jawatankuasa Keselamatan dan Kemajuan Kampung (JKKK) dan mendengar cadangan mereka supaya kaedah penggunaan wang peruntukan itu dapat dicapai untuk pembangunan kampung dan usahawan belia.
“Peruntukan itu diberi mengikut cadangan yang dibuat JKKK sendiri dan kini mereka berlumba-lumba untuk mencadangkan projek. Setiap projek yang mempunyai potensi akan diluluskan,” katanya kepada Selangor Kini selepas bertemu Pengerusi JKKK bagi Hulu Selangor dan Sabak Bernam di Dewan Jubli Perak, Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK), di sini, semalam.
Sebelum itu, lebih 70 JKKK menghadiri Bengkel Kenali Kampungku peringkat Sabak Bernam dan Hulu Selangor bagi mengadakan perbincangan serta mendraf kertas kerja masing-masing sebelum dikemukakan kepada kerajaan negeri untuk kelulusan projek.
Dalam bengkel sehari itu, Abdul Khalid juga sempat mendengar beberapa cadangan projek daripada JKKK beberapa kampung yang hadir dan meminta cadangan yang dikemukakan peserta harus berkemampuan memberi pulangan setimpal kepada masyarakat kampung masing-masing, yang mana perkembangan projek itu akan dibentangkan dalam sidang DNS akan datang.
-NFN-

selangorkini

No comments: