SHAH ALAM 9 DIS : Kerajaan Pusat perlu melipat gandakan usaha membanteras rasuah di setiap peringkat kerana negara hanya berada di tangga ke 53 daripada 177 buah negara dalam Index Persepsi Rasuah Dunia 2013 berbanding Singapura dan Brunei di tempat ke lima dan 38.
Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata permasalahan rasuah semakin kerana tiada tekad politik dan kesungguhan Kerajaan Pusat untuk memerangi gejala terbabit secara habis-habisan.
“Korupsi dan rasuah yang berkekalan akan mambantutkan pembangunan sosial, melebarkan kesenjangan pendapatan dan menambahkan bebanan kewangan pada rakyat.
“Korupsi dan rasuah yang membarah di Malaysia menyebabkan pelbagai ketirisan dan pembaziran dalam kewangan kerajaan seperti yang dibangkitkan sendiri pihak kerajaan di dalam Laporan Tahunan Ketua Audit Negara,” kata Anwar dalam perutusannya sempena Hari Anti Rasuah Sedunia pada 9 Disember.
Anwar berkata, ketirisan daripada korupsi dan rasuah yang membarah di negara ini menyebabkan pertambahan bebanan hidup rakyat melalui pengurangan subsidi keperluan asas dan perlaksanaan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) yang bakal dilaksanakan kelak.
“Disebabkan ini rakyat terbeban dengan kenaikan harga barangan seperti gula, elektrik, petrol dan GST,” katanya.
Sehubungan itu, katanya, langkah pembanterasan rasuah perlu dipergiat di semua peringkat lapisan masyarakat, bangsa dan agama selain kesedaran harus wujud agar mana-mana bakal penerima dan pemberi rasuah boleh dihapuskan.
“Sempena sambutan ini, kita perlu melipatgandakan usaha membanteras korupsi dan rasuah yang seharusnya bermula dengan menambahkan kesedaran individu serta masyarakat awam akan bahaya gejala ini dengan pendedahan isu-isu semasa.
“Pimpinan negara juga perlu menjamin tatakelola yang baik dengan tekad untuk membanteras rasuah,” katanya.
Hari Anti Rasuah Sedunia diilhamkan oleh Perhimpunan Agung Bangsa-Bangsa Bersatu hasil dari resolusi 58/4 bertajuk “United Nations Convention against Corruption”.
Ia diraikan setiap 9 Disember bertujuan untuk meningkatkan kesedaran awam akan bahaya korupsi dan rasuah serta keperluan akan suatu usahasama antarabangsa bagi menangani bersama permasalahan ini.
-EZY
selangorkini
No comments:
Post a Comment