Saturday, December 14, 2013

Gangguan Air Selangor,PBT Sedia Berkhidmat


PETALING JAYA: Kerajaan Selangor akan berjumpa dengan Syarikat Bekalan Air Syabas (Syabas) Isnin depan bagi mendapatkan maklumat terperinci mengenai gangguan bekalan air minggu depan.
Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, pihaknya mahu tahu persediaan yang akan dilakukan syarikat air swasta itu bagi mengatasi masalah tersebut termasuk jangkaan bekalan pulih sepenuhnya dan kawasan-kawasan yang terlibat.
“Kerajaan Selangor memandang serius pengumuman gangguan bekalan air yang dibuat Syabas pada 17 hingga 22 Disember depan yang akan menjejaskan bekalan kepada lebih 1 juta pengguna di Lembah Klang,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Gangguan bekalan ini berikutan penutupan sementara Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Selangor Fasa 2 (SSP2) bagi melakukan kerja-kerja menaik taraf, pembaikan dan penukaran aset-aset utama di loji tersebut.
Beliau berkata, walaupun gangguan tidak dapat dielakkan, namun pihaknya akan memastikan gangguan ini tidak begitu menjejaskan dan membebankan kehidupan seharian pengguna.
Katanya, kerajaan negeri juga akan memanggil pihak berkuasa tempatan (PBT) di  kawasan-kawasan yang terlibat sebagai persediaan memandangkan Syabas tidak akan menyediakan lori tangki sepanjang gangguan bekalan air berlaku kecuali pengguna kritikal seperti hospital, pusat dialisis dan rumah ibadat.
“Kita akan mengarahkan PBT supaya menyediakan lori-lori tangki untuk menghantar bekalan air ke kawasan yang terlibat sekiranya mendapat permintaan daripada pengguna di kawasan itu,” katanya.
Beliau turut menggesa Syabas memastikan bekalan air pulih lebih cepat atau sekurang-kurangnya dalam tempoh yang ditetapkan bagi memastikan pengguna tidak terlalu terbeban dengan gangguan air ini.
Menurut Khalid, seperti yang diketahui pihaknya kini masih dalam proses mengambilalih perkhidmatan bekalan air daripada syarikat konsesi bagi memberi perkhidmatan pembekalan air yang lebih efisien pada kadar tarif yang munasabah.
“Selepas pengambilalihan ini selesai, kerajaan Selangor berazam untuk memastikan kebajikan dan kepentingan pengguna diutamakan dalam membuat keputusan apabila melibatkan henti tugas sementara loji atau kejadian lain di luar jangkaan,” katanya.
Syabas dalam satu kenyataan semalam berkata gangguan bekalan air akan bermula pada 8 pagi, 17 Disember manakala tempoh pemulihan bekalan dijangka bermula pada 9 malam hari yang sama dan berterusan hingga 8 pagi 22 Disembar (Ahad).
Ia melibatkan 217,694 akaun pengguna, termasuk di beberapa kawasan penting seperti Kelab Diraja Selangor, Pusat SainsNegara, Kompleks Kerajaan Jalan Duta dan Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC).

Fmt

No comments: