Tuesday, December 3, 2013

Skim Bantuan Tadika Selangor (TUNAS) Manifestasi Hasil Negeri Untuk Rakyat


SHAH ALAM 3 DIS : Skim Bantuan Tadika Selangor (TUNAS) adalah program di bawah agenda Merakyatkan Ekonomi Selangor (MES) yang mengkhususkan bantuan subsidi yuran perkapita kepada anak berusia lima dan enam tahun yang dihantar ke tadika dan pra sekolah di seluruh Selangor, mulai 1 Julai 2012.
Eksekutif Operasinya, Abdul Mutalib Islan, berkata TUNAS memberi fokus bantuan kepada keluarga berpendapatan RM2,500 ke bawah di seluruh Selangor tanpa mengira kaum, bangsa, agama, ekonomi dan fahaman politik.
“Semua anak berusia lima dan enam tahun di kalangan keluarga disasarkan yang berdaftar sama ada di pra sekolah Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM), Sekolah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), Tadika Perpaduan, Tabika Kemas, Tadika Rakyat, PASTI, ABIM, Hira’, Pertim dan PTM layak memohon TUNAS.
“Pada tahun lalu dengan peruntukan RM1,016,600 yang diluluskan di bawah Geran Selangorku, seramai 1,247 daripada 1,903 pelajar didaftarkan di bawah skim TUNAS membabitkan 217 tadika dan pra sekolah membuat pendaftaran dengan Majlis Permuafakatan Tadika Selangor (MPTS) untuk mendapatkan manfaat skim itu,” katanya.
Abdul Mutalib berkata, tahun ini dengan peruntukan RM3 juta menjadikan skim berkenaan lebih berjaya melalui pendaftaran 3,073 daripada 4,247 yang berjaya.
Beliau berkata, pendaftaran yang gagal iaitu 622 pada 2012 dan 1,174 (tahun ini) adalah berikutan beberapa kriteria yang tidak dipenuhi seperti had kelayakan isi rumah keluarga dan status pemohon.
“Tahun depan kita mensasarkan pendaftaran peserta sehingga 5,000 atau lebih di seluruh Selangor dengan peruntukan RM3 juta disediakan kerajaan negeri.
“Kita akan menggiatkan sesi promosi dan penerangan ke seluruh negeri supaya rakyat mendapat maklumat lebih jelas dan lengkap berkenaan progam ini,” katanya.
Abdul Mutalib berkata, semua tadika dan pra sekolah yang ingin menyertai program itu wajib mendaftar dengan MPTS bagi memudahkan penyaluran bantuan berkenaan.
-NFN-

selangorkini

No comments: