Thursday, December 19, 2013

Syarikat Konsesi Tidak Terkesan Dengan Kenaikan Harga Barang,Kenaikan TOL Yang Tidak Jelas



Pemain industri Persekutuan Industri Besi dan Keluli Malaysia (Misif) menyifatkan kenaikan harga tol adalah tidak munasabah kerana syarikat konsesi tidak menerima sebarang kesan daripada kenaikan harga barang seperti yang dialami rakyat.
Presiden Misif Datuk Soh Thian Lai berkata, syarikat konsesi telah menikmati banyak keuntungan menerusi peningkatan pengguna jalan raya.
"Mereka juga tidak menerima kesan ketara oleh faktor-faktor lain seperti turun naik mata wang, kenaikan kadar elektrik dan harga bahan api, dan lain-lain, tidak seperti yang dialami pengindustri khususnya dalam sektor perkilangan," kata beliau dalam satu kenyataan hari ini.
Soh berkata satu-satunya aspek yang akan memberi kesan kepada kos operasi konsesi adalah sekiranya gaji pekerja meningkat.
"Wujud  juga aduan mengatakan lebuh raya sesak dan pastinya memberi kesan kos kepada konsesi," kata Soh yang menggambarkan keuntungan yang diperoleh oleh konsesi.
Menurut Soh, pengusaha industri besi dan keluli juga akan menerima kesan peningkatan kos kepada mereka.
"Pengumuman kemungkinan kadar tol baru-baru ini akan memberi kesan kepada logistik dan kos pengangkutan. Ia akan menyebabkan industri besi dan keluli lebih lesu," ujarnya lagi.
Cadangan supaya jalan alternatif digunakan juga tidak praktikal menurut Soh, kerana beberapa faktor seperti keselamatan dan tempoh masa.
"Penggunaan kenderaan berat untuk mengangkut produk besi dan keluli menerusi jalan alternatif tidak praktikal kerana isu keselamatan.
"Lebih-lebih wujud larangan ketinggian kenderaan, keadaan jalan yang buruk dan masa yang tidak efisien juga adalah faktor tidak munasabah untuk menggunakan jalan alternatif," katanya lagi.
Kadar tol dijadualkan berlaku ekoran kenaikan tarif elektrik di seluruh negara, dan peningkatan yang dicadangkan dalam cukai taksiran serta tambang pengangkutan awam di Lembah Klang yang menjadi tempat tinggal kepada kira-kira tiga juta rakyat Malaysia.
Kerajaan mengurangkan subsidi minyak pada September, mengumumkan penghapusan subsidi gula di bawah Bajet 2014 dan baru-baru ini mengumumkan kenaikan tarif elektrik yang akan berkuatkuasa bulan depan.
Kenaikan tol yang dicadangkan ini dijangka berlaku tahun depan bagi mematuhi perjanjian di antara kerajaan persekutuan dan syarikat konsesi lebuh raya.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Abdul Wahid Omar berkata, kenaikan itu tidak dapat dielakkan kerana ia dinyatakan  dalam perjanjian konsesi antara Putrajaya dengan syarikat-syarikat konsesi lebuh raya.
Beliau berkata,  kadar tol itu sepatutnya disemak semula pada 2011, seperti yang dinyatakan dalam perjanjian konsesi tetapi ia dikekalkan dan Putrajaya terpaksa menanggung kos RM400 juta untuk membayar pampasan kepada syarikat-syarikat ini dengan menggunakan wang pembayar cukai.
Kenaikan kadar tol dicadangkan selepas pengumuman kadar pengangkutan, peningkatan 15% dalam tarif elektrik dan kadar taksiran yang lebih tinggi untuk hartanah di Kuala Lumpur. – 19 Disember, 2013

TMI

No comments: