Wednesday, December 18, 2013

Kerajaan Negeri Antara Pemegang Saham KESAS & SPRINT Membantah Kenaikan Harga TOL


Pakatan Rakyat melalui kerajaan negeri Selangor akan menolak cadangan kenaikan kadar tol melalui saham yang dimilikinya dalam tiga syarikat konsesi lebuh raya, kata Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Kerajaan negeri Selangor memiliki 30% saham dalam Lebuhraya Kesas melalui PKNS manakala 20% dalam Lebuhraya Sprint serta Lebuhraya Damansara-Pucong (LDP) melalui Kumpulan Perangsang.
Pada sidang medianya hari ini, Anwar berkata, beliau berbincang dengan dengan Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim dan mereka mencapai kata sepakat untuk menggunakan saham minoriti itu bagi membantah kenaikan tol.
"Saya difahamkan perkara ini akan dibawa ke mesyuarat Exco hari ini dan arahan akan dikeluarkan kepada wakil kerajaan dalam konsortium berkenaan untuk membantah kenaikan tol ini," katanya.
"Mereka ada hak untuk menentang sebagai pemegang saham minoriti," katanya.
Sehubungan itu, Selangor akan mengenakan syarat ketat kepada syarikat yang terlibat dalam pembinaan lebuhraya baru seperti DASH, KIDEX, SUKE dan KLORR.
Katanya, kebenaran untuk pembangunan hanya akan diberi sekiranya cara mengaut keuntungan mengikut formula yang adil kepada rakyat dan mengikut undang undang kerajaan persekutuan dan syarikat konsesi.
Kerajaan negeri juga hanya boleh membenarkan syarikat untuk mengambil tanah negeri untuk pembinaan lebuh raya sekiranya syarat yang dikenakan seperti kadar tol dan tanggungjawab kepada rakyat Selangor dipenuhi.
"Ini adalah sebahagian daripada tindakan yang akan diambil oleh kerajaan negeri untuk mengelakkan kenaikan kadar tol," katanya.
Ketua umum PKR itu mendesak kerajaan persekutuan yang menjadi pemegang saham besar dalam konsesi lebuh raya supaya hak rakyat  dilindungi.
"Ini sebabnya mengapa saya melawan kenyataan menteri Barisan Nasional (BN) yang berkata kenaikan harga tol tidak dapat dielakkan kerana ia dalam perjanjian konsesi.
"Saya juga menolak alasan yang diberikan BN bahasa kerajaan tiada kuasa untuk membendung kenaikan kadar tol, " katanya.
Ahli Parlimen Permatang Pauh itu berkata, pengalamannya sebagai menteri kewangan sebelum ini  'meyakinkan' beliau bahawa kerajaan harus 'berhati-hati dengan keuntungan yang berlipat kali ganda' yang diraih oleh syarikat konsesi lebuhraya.
"Syarikat lebuh raya sudah pun mengaut keuntungan.
"Kenaikan tol yang akan datang adalah kesan perbelajaan mewah kerajaan BN," katanya.
Anwar juga membidas kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdul Wahid Omar iaitu pengguna jalan raya yang tidak berpuas hati boleh mengambil jalan alternatif.
"Kita menyediakan jalan jalan alternatif untuk mereka yang sedia membayar harga premium. Bagi sesiapa yang merasakan laluan ini terlalu mahal, mereka boleh melalui jalan raya lain," kata Abdul Wahid.
"Ini menunjukkan kesombongan beliau. Beliau bukan ketua korporat di bank. Beliau adalah seorang menteri maka beliau harus sensitif kepada masalah rakyat," kata Anwar.
Pengarah strategik PKR, Rafizi Ramli yang serta dalam sidang media itu berkata, kerajaan Selangor hanya "cuba mengajar" Putrajaya yang mereka boleh menolak kenaikan kadar tol jika ia menjanjikan lebih keuntungan untuk negeri.
"Kerajaan persekutuan harus mempunyai sifat sama seperti agensi yang memegang saham dalam syarikat konsesi.
"Jika kita boleh melakukannya dengan Kesas, Sprint dan Lebuhraya Damansara-Puchong, mereka juga boleh melakukan yang sama dengan PNB dan EPF," katanya.
Media melaporkan kenaikan kadar tol dijangka di antara 50 sen dan RM2 melibatkan 15 lebuh raya terutama di Lembah Klang.
Wahid sebelum ini pernah berkata, mustahil untuk menghentikan kenaikan kadar tol tahun depan kerana perjanjian kerajaan dengan syarikat konsesi lebuh raya.
Katanya, kerajaan harus mengeluarkan RM400 juta wang pampasan kepada syarikat konsesi selepas menghentikan semakan kadar tol pada 2011. – 18 Disember, 2013.

TMI

No comments: