Tuesday, December 10, 2013

Kerajaan Negeri Masih Optimis Walaupun Syarikat Konsesi Tolak Tawaran RM9.65


Walaupun syarikat konsesi air di Selangor menolak tawaran RM9.65 billion daripada kerajaan negeri Selangor bagi membolehkan ia diambil alih, Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim tetap optimis untuk melaksanakannya.
Khalid berkata, beliau yakin penstrukturan semula industri air di Selangor akan dimuktamadkan dalam tempoh terdekat.
Katanya, perbincangan kini tertumpu untuk menyelesaikan isu yang dibangkitkan Puncak Niaga dan pemilik saham Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (Syabas) berhubung pengambilalihan itu.
“Kita rasa optimistik tentang penyelesaiannya apabila penyusunan semula diterima oleh kedua-dua pihak,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Perhimpunan Bulanan Jabatan Kerajaan Negeri di Dewan Jubli Perak, semalam, lapor Selangorkini.
Kerajaan Selangor sebelum ini mengambil keputusan untuk membenarkan Kumpulan Darul Ehsan Berhad (KDEB) membuat tawaran bernilai RM9.65 billion bagi memulakan proses pengambilalihan syarikat-syarikat konsesi air.
Bagaimanapun, menurut kenyataan kepada Bursa Malaysia, mereka menolak tawaran itu.
Surat tawaran kepada Syabas, Puncak Niaga, Konsortium Abass Sdn Bhd dan Syarikat Pengeluar Air Selangor Holding (Splash) sudah dikeluarkan KDEB.
Pengambilalihan ini adalah di antara usaha untuk mengembalikan hak air kepada rakyat Selangor.
Hasil daripada pengambilalihan itu akan memberi kesan penting terhadap kehidupan rakyat kerana rakyat akan terus menerima kemudahan air percuma 20 meter padu dan tidak akan terperangkap dengan kadar tarif air yang tidak adil serta membebankan. – 10 Disember, 2013.

TMI

No comments: