Friday, December 13, 2013

Malaysia Antara Top 5 Tertinggi Jumlah Aliran Wang Haram Keluar , Ini Wajib Diperbetulkan


Rafizi Ramli mendesak Datuk Seri Najib Razak meletakkan jawatannya sebagai Menteri Kewangan pendedahan laporan Global Financial Integrity (GFI) berhubung “Aliran Wang Haram di Kalangan Negara Membangun 2002 – 2011” yang menyatakan jumlah aliran wang keluar dari Malaysia adalah keempat tertinggi di dunia.
Menurut Pengarah Strategi PKR itu, laporan terbaru GFI mengesahkan terdapat kaitan antara jumlah aliran wang haram yang tinggi dengan pelbagai masalah kewangan dihadapi negara  berpunca daripada masalah yang sama iaitu rasuah.
"Najib sewajarnya melepaskan jawatan Menteri Kewangan kerana jumlah aliran wang haram yang begitu tinggi ini adalah bukti kegagalan beliau sebagai Menteri Kewangan.
"Kedegilan Najib  menerima pakai kesimpulan-kesimpulan ini akan terus merencatkan kemajuan ekonomi negara dan menekan rakyat,"  kata ahli Parlimen Pandan itu dalam satu kenyataan hari ini merujuk kepada Najib yang juga merupakan Perdana Menteri.
Katanya, sebagaimana Laporan Ketua Audit Negara, laporan tahunan GFI juga sebagai bukti bahawa rasuah di Malaysia sudah bertambah parah.
Menurut Rafizi, laporan GFI juga mengandungi jawapan kepada beberapa persoalan teknikal yang dikemukakan oleh pihak tertentu termasuk kerajaan melalui Bank Negara Malaysia.
“Selain menggunakan kaedah analisa yang lebih baik, laporan GFI  juga menyanggah kenyataan kerajaan Malaysia melalui Bank Negara Malaysia yang menyalahkan ketepatan statistik bagi menerangkan jumlah aliran wang haram yang besar.
"Dengan jawapan-jawapan dan kaedah baru yang digunapakai oleh GFI, maka kerajaan Malaysia tidak lagi mempunyai alasan untuk menafikan kesimpulan yang dibuat.
"Jumlah aliran wang haram yang mencecah AS$54 bilion dalam tahun 2011 dan jumlah terkumpul sebanyak RM370 bilion sepanjang tempoh 2002 hingga 2011 juga bertepatan dengan bukti-bukti semasa," katanya.
Lebih dari itu laporan urus niaga di luar negara seperti London seperti yang didedahkan GFI mengesahkan bahawa terdapat pelbagai urus niaga mewah melibatkan rakyat di negara ini.
Menurut Rafizi, laporan GFI itu juga selari dengan kedudukan kewangan semasa negara yang menunjukkan defisit belanjawan dalam tempoh 15 tahun berturut-turut.
"Defisit belanjawan ini jelas menunjukkan perbelanjaan yang melonjak naik termasuklah perbelanjaan-perbelanjaan besar yang melibatkan bayaran ke seluruh dunia," katanya. – 12 Disember, 2013.

TMI

No comments: